
KUALA LUMPUR, 14 Mei– Kutipan cukai negara pada tahun ini sukar diramal ekoran tekanan kos yang dihadapi kebanyakan syarikat serta peniaga susulan krisis bekalan tenaga.
- Kenaikan kos operasi (bahan mentah, pengangkutan, bahan api) menjejaskan margin keuntungan syarikat dan peniaga.
- Kesan sama, kutipan cukai negara mungkin tidak setinggi pencapaian tahun lalu.
- Peluasan e-invois: lebih 99% syarikat fasa dua, kira-kira 98% pembayar fasa satu, tingkatkan kecekapan kutipan.
- Cukai karbon masih pada peringkat awal, terlibat beberapa industri seperti besi dan keluli, sumbangan hasil belum pasti.
Ahli Majlis Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Harvindar Singh Chanan Singh berkata, peningkatan kos operasi dijangka menjejaskan keuntungan syarikat berbanding tahun lalu sekali gus memberi kesan kepada jumlah kutipan cukai negara.
“Melihat kepada prospek kutipan cukai tahun ini, unjuran tepat agak sukar dibuat memandangkan berlaku kenaikan kos bahan mentah, pengangkutan, dan bahan api yang dijangka berterusan.”
“Situasi ini bakal melonjakkan kos operasi sehingga boleh menjejaskan margin keuntungan syarikat dan peniaga. Impaknya, kutipan cukai negara mungkin tidak setinggi pencapaian tahun lalu,” katanya selepas Program Biz Malaysia, pada Rabu.
Tahun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai RM203.991 bilion peningkatan sebanyak RM19.186 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, Harvindar optimis bahawa peluasan penggunaan sistem e-invois dalam kalangan pembayar cukai dijangka dapat membantu mengurangkan sedikit impak penurunan kutipan hasil.
Menurutnya, lebih 99 peratus syarikat dalam fasa dua pelaksanaan e-invois telah menggunakannya manakala kira-kira 98 peratus pembayar cukai dalam fasa satu juga sudah mula melaksanakan sistem tersebut.
Pelaksanaan sistem e-Invois LHDN berfungsi sebagai penampan atau benteng hasil negara dengan meningkatkan kecekapan kutipan cukai dan mengurangkan kebocoran pendapatan.
Mengulas mengenai cukai karbon, Harvindar berkata pelaksanaannya di Malaysia masih berada pada peringkat awal dan ketika ini hanya melibatkan beberapa industri tertentu seperti besi dan keluli.
“Tujuan utama pelaksanaan cukai karbon adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon selain bertindak sebagai penalti kepada industri yang gagal mematuhi tahap pelepasan yang ditetapkan,” jelasnya.
Ujar Harvindar, masih terlalu awal untuk menentukan sejauh mana cukai karbon mampu menyumbang kepada hasil negara.