Ekonomi Asia kekal stabil, disokong eksport dan teknologi walaupun berdepan krisis bekalan global – IMF

Thomas Helbling

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Ekonomi di rantau Asia terus berada pada landasan stabil dengan pertumbuhan sederhana, disokong oleh kekuatan sektor eksport dan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), walaupun berdepan tekanan berterusan daripada krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • IMF melihat daya tahan rantau Asia melalui data awal hingga April, walaupun pertumbuhan dijangka lebih perlahan berbanding 2025.
  • Kekuatan serantau disokong prestasi eksport, Indeks Pengurus Pembelian dan petunjuk ekonomi semasa yang menunjukkan perkembangan positif.
  • Perkembangan pesat teknologi termasuk AI menjadi pemangkin baharu pertumbuhan, menyokong rantaian bekalan elektronik dan semikonduktor.
  • IMF memantau indikator tenaga dan pengeluaran seperti pengeluaran industri, inventori minyak serta aliran penghantaran minyak dan gas.

Timbalan Pengarah Jabatan Asia Pasifik, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Thomas Helbling berkata rantau Asia masih menunjukkan daya tahan kukuh berdasarkan data awal setakat April, meskipun pertumbuhan dijangka lebih perlahan berbanding prestasi tahun 2025.

Beliau berkata kekuatan ekonomi serantau itu turut disokong oleh prestasi eksport, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) serta beberapa petunjuk ekonomi semasa yang masih menunjukkan perkembangan positif.

“Walaupun berdepan risiko tersebut, IMF masih melihat unjuran pertumbuhan Asia secara keseluruhannya kekal stabil. Kami juga meneliti faktor utama yang ketika ini membantu mengimbangi tekanan berkaitan tenaga.

“Seperti yang dibangkitkan, terdapat beberapa tekanan terhadap ekonomi global dan juga ekonomi di Asia.

“Namun, masih terdapat banyak kekuatan dalam ekonomi. Kami melihatnya melalui prestasi eksport, PMI serta beberapa petunjuk ekonomi semasa,” katanya dalam siaran West Asia Conflict: Asia’s Economic Outlook menerusi Bernama TV.

Tambah beliau, perkembangan pesat teknologi khususnya AI turut menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi serantau, termasuk Malaysia yang memainkan peranan dalam rantaian bekalan elektronik dan semikonduktor.

“Melalui rantaian bekalan, perkembangan itu turut mempengaruhi pertumbuhan beberapa ekonomi di rantau Asia, termasuk Malaysia yang menjadi hab pemasangan bagi komponen elektronik dan berkaitan AI,” katanya lagi.

IMF menjelaskan bahawa walaupun tekanan tenaga masih menjadi cabaran, kekuatan struktur ekonomi Asia dapat dilihat melalui eksport, PMI pembuatan serta indikator ekonomi utama lain.

Pada masa sama, IMF terus memantau pelbagai petunjuk termasuk pengeluaran industri, aktiviti ekonomi semasa, inventori minyak serta aliran penghantaran minyak dan gas bagi menilai kesan berterusan krisis tenaga terhadap ekonomi global.