
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Malaysia masih mempamerkan daya tahan dalam berdepan pelbagai kejutan luaran dan dijangka mampu mencatatkan pertumbuhan yang baik pada suku pertama 2026.
- Ekonomi menunjukkan daya tahan; pendekatan optimistik berhati-hati diperlukan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan.
- Separuh kedua tahun berisiko lebih tinggi akibat ketidaktentuan global, konflik geopolitik, tekanan inflasi dan impak harga tenaga.
- Dasar kerajaan, pelaburan teknologi dan pembangunan modal insan menyokong pertumbuhan serta peralihan ke sektor bernilai tinggi.
Ketua Institut Jeffrey Cheah bagi Asia Tenggara, Universiti Sunway, Professor Shandre Mugan Thangavelu berkata, unjuran itu berdasarkan beberapa indikator positif selari anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi Malaysia yang diramal berkembang 5.3 peratus untuk tiga bulan pertama tahun ini.
“Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang baik. Namun, pendekatan optimistik secara berhati-hati diperlukan bagi separuh kedua tahun ini.
”Jika momentum ini dapat dikekalkan dan berterusan untuk suku kedua, ketiga dan seterusnya, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sekitar lima peratus atau lebih bagi keseluruhan tahun ini,” katanya kepada RTM.
Beliau turut menjangkakan cabaran yang lebih ketara pada separuh kedua tahun susulan ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik yang boleh memberi kesan kepada harga tenaga serta tekanan inflasi.
Kerajaan perlu terus memantau rapat potensi risiko daripada krisis tenaga global termasuk impaknya kepada pasaran pekerjaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara terus disokong oleh dasar kerajaan, pelaburan dalam teknologi serta pembangunan modal insan.
Katanya, peralihan ekonomi negara ke arah sektor bernilai tinggi seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan industri elektronik turut membantu memperkukuh daya tahan jangka panjang ekonomi Malaysia.
“Antara komponen penting ialah memperkukuh daya tahan ASEAN serta meningkatkan pelaburan dalam teknologi dan pembangunan modal insan. Ini merupakan elemen utama yang membina daya tahan ekonomi yang lebih kukuh untuk negara,” katanya.