
KEPALA BATAS, 25 April – Seorang kakitangan Jabatan Penyiaran Malaysia Pulau Pinang yang terlibat dalam kemalangan motosikal menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@Hawana.
- Razif Saidin, 44, mengalami kecederaan saraf C4 akibat kemalangan April 2025 dan kini menjalani proses pemulihan.
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menziarahi Razif di kediamannya di Kota Aur, Penaga untuk memberi sokongan moral.
- Beliau mengesyorkan meneruskan terapi perubatan dan meneliti alternatif seperti rawatan akupunktur dalam masa terdekat.
- Fahmi berharap warga media kekal komited serta memberi jaminan bantuan berterusan, turut mengiringi Ketua Setiausaha Datuk Abdul Halim Hamzah.
Razif Saidin, 44, mengalami kecederaan saraf C4 selepas terbabit dalam kemalangan pada April 2025 dan kini menjalani proses pemulihan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meluangkan masa menziarahi Razif di kediamannya di Kota Aur, Penaga sambil memberi sokongan moral.
“Saya sarankan beliau meneruskan terapi dan rawatan perubatan sedia ada, selain meneliti alternatif seperti rawatan akupunktur yang boleh dicuba dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut berharap warga media kekal komited walaupun berdepan pelbagai cabaran, selain memberi jaminan bantuan berterusan dalam fasa pemulihan mangsa.
Turut mengiringi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Sementara itu, Razif melahirkan rasa syukur atas keprihatinan yang diberikan.
“Saya mengucapkan terima kasih atas kunjungan, ingatan dan doa daripada pihak Yang Berhormat Menteri, kementerian serta rakan-rakan media RTM dan Bernama,” katanya.
Razif yang bertugas di Unit Penyelenggaraan ICT RTM Pulau Pinang telah berkhidmat hampir 21 tahun dan tidak menyangka akan menerima kunjungan berkenaan.
Dalam pada itu, ibunya, Zainab Hamid turut melahirkan rasa teruja.
“Rasa bangga dan seronok… terima kasih atas bantuan kepada anak saya,” katanya.
Anak Razif, Nur Insyirah Razif yang turut hadir berazam untuk terus cemerlang dalam akademik.
“Selepas memperoleh sembilan A dalam SPM, saya sedang mencari tajaan untuk menyambung pengajian ke universiti dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita,” katanya.
Nur Insyirah berharap dapat berjaya dalam bidang akademik sekali gus membantu keluarganya.