
BATU KAWAN, 25 April – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel dalam tempoh terdekat sebagai langkah mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga bahan api tersebut.
- Perdana Menteri arah Kementerian Pengangkutan cari mekanisme sesuai untuk pelaksanaan itu mengambil kira kesan kenaikan harga terhadap pengguna.
- Beliau meminta Menteri Pengangkutan Anthony Loke mencari jalan supaya cukai jalan kenderaan diesel dapat diturunkan.
- Harga bahan api dipengaruhi faktor global sementara cukai jalan ialah instrumen domestik yang boleh disemak dan disesuaikan.
- Kerajaan kekal dengan dasar penyasaran subsidi BUDI95 bagi RON95 dengan tanggungan subsidi kini mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk mencari mekanisme bersesuaian bagi pelaksanaan itu dengan mengambil kira kesan kenaikan harga diesel terhadap pengguna, khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.
“Sehubungan itu, saya meminta Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook untuk mencari jalan supaya dalam tempoh terdekat ini, cukai jalan bagi kenderaan diesel dapat diturunkan.
“Ini mungkin tidak dapat kita laksanakan dari segi harga minyak secara besar-besaran, tetapi cukai jalan itu boleh dipertimbangkan untuk diturunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini.
Meskipun harga bahan api dipengaruhi faktor global, namun cukai jalan merupakan instrumen domestik yang masih boleh disemak dan disesuaikan mengikut keperluan semasa.
Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan kekal dengan dasar penyasaran subsidi bagi petrol RON95 menerusi Program Budi MADANI (BUDI95) dengan tanggungan subsidi bahan api kini mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan.
Keutamaan kerajaan ketika ini bukan hanya tertumpu kepada harga bahan api, sebaliknya turut memastikan bekalan kekal mencukupi susulan krisis bekalan global.