
IPOH, 25 April – Polis giat memburu sekumpulan individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan kemudahan awam di kawasan bandar ini.
- Rakaman dimuat naik oleh akaun TikTok @faiz.sosialaktivis dikenal pasti, siasatan segera dijalankan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Ipoh di talian 05-2451500 atau ke balai polis berhampiran.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya mengesan video berkenaan dimuat naik oleh akaun TikTok menggunakan nama pengguna @faiz.sosialaktivis sebelum siasatan lanjut segera dijalankan.
Menurut beliau, satu laporan polis telah diterima berhubung kejadian yang dipercayai berlaku di Jalan Raja Musa Aziz, di sini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan sedang dijalankan termasuk usaha mengesan suspek, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengenal pasti kenderaan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, pihak polis memandang serius kes berkenaan kerana kegiatan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah berpotensi menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi serta keselamatan awam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.