Operasi penerbangan jemaah haji Malaysia berjalan lancar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan ditemui media selepas merasmikan Program Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) di UNIMAS. / Foto BERNAMA

KOTA SAMARAHAN, 22 April – Operasi penerbangan jemaah haji Malaysia berjalan lancar seperti dijadualkan walaupun berdepan situasi semasa di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerbangan pertama jemaah haji dilaksanakan pada 18 April.
  • Keadaan di Tanah Suci dilaporkan baik dan terkawal tanpa gangguan operasi haji.
  • Tabung Haji menubuhkan pasukan khas, memantau perkembangan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan.
  • Operasi haji kekal berjalan seperti biasa dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 20 Mei.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, penerbangan pertama jemaah haji telah dilaksanakan pada 18 April.

Menurut beliau, setakat ini keadaan di Tanah Suci adalah baik dan terkawal tanpa sebarang gangguan terhadap operasi haji.

‘Alhamdulillah mengikut perkembangan sekarang ini dapat makluman daripada petugas-petugas kita, semuanya berlaku dalam keadaan yang baik, dalam keadaan yang tenang. Dan Insyallah, kita doakan moga moga semuanya dipelihara oleh Allah SWT, melakukan ibadah haji,’ katanya selepas merasmikan Program Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Zon Sarawak yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan.

Tabung Haji telah membuat persiapan rapi termasuk penubuhan pasukan khas bagi memantau perkembangan semasa, selain kerjasama dengan pihak berkaitan
serta pemakluman berterusan kepada Jemaah Menteri.

Dr. Zulkifli berkata operasi haji kekal berjalan seperti biasa dengan penerbangan terakhir dijadualkan pada 20 Mei ini.