
HOUSTON, 7 April – Misi Artemis II mencipta sejarah apabila angkasawannya menjadi manusia paling jauh pernah berada dari bumi, sebelum memulakan perjalanan pulang selepas menamatkan lintasan berhampiran Bulan.
- Kru menghabiskan hampir tujuh jam memerhati permukaan bulan, mengenal pasti kawah jarang dikaji serta menyaksikan gerhana dan kesan hentaman meteor.
- Ketua saintis Kelsey Young memuji kru, berkata pencapaian membuka ruang baharu bagi penyelidikan angkasa lepas.
- Kapsul mengalami gangguan komunikasi kira-kira 40 minit ketika berada di belakang bulan, kali pertama dalam lebih 50 tahun.
- Christina Koch wanita pertama mengelilingi bulan; Jeremy Hansen rakyat bukan Amerika pertama menyertai misi itu.
Empat angkasawan yang menyertai misi itu meluangkan hampir tujuh jam memerhati permukaan bulan dari kapsul Orion, termasuk mengenal pasti kawah yang jarang dikaji, menyaksikan gerhana matahari serta kesan hentaman meteor.
“Manusia mungkin tidak dicipta untuk melihat pemandangan seperti ini. Ia sukar digambarkan dan amat menakjubkan,” kata Victor Glover.
Pasukan itu turut melaporkan secara terperinci ciri permukaan bulan, selain menyaksikan fenomena gerhana apabila bulan melindungi matahari.
Mereka juga melihat kilauan cahaya dipercayai kesan hentaman meteor di permukaan satelit semula jadi bumi itu.
Ketua saintis misi, Kelsey Young, memuji pencapaian kru yang disifatkan membuka ruang baharu dalam penyelidikan angkasa lepas.
“Anda membawa bulan lebih dekat kepada kami hari ini,” katanya.
Misi tersebut turut mencipta rekod baharu apabila mengatasi pencapaian misi Apollo 13 dengan jarak lebih 406,000 kilometer dari bumi.
Selain itu, kru turut mengalami gangguan komunikasi selama kira-kira 40 minit ketika kapsul berada di belakang bulan, kali pertama situasi itu berlaku dalam tempoh lebih 50 tahun.
Kapsul Orion kini dalam perjalanan pulang menggunakan laluan “free-return trajectory” yang dijangka mengambil masa kira-kira empat hari.
Misi diketuai Reid Wiseman itu turut mencatat beberapa pencapaian penting termasuk Christina Koch sebagai wanita pertama mengelilingi bulan, manakala Jeremy Hansen menjadi rakyat bukan Amerika pertama menyertai misi tersebut.
Dalam satu detik menyentuh perasaan, kru turut mencadangkan dua nama baharu untuk kawah di bulan, termasuk “Carroll” bagi memperingati isteri mendiang Wiseman.
Cadangan itu akan dikemukakan kepada International Astronomical Union untuk kelulusan rasmi.-AFP