SPM Terengganu catat rekod terbaik, bukti sokongan industri berkesan

Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamad / BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 4 April – Pencapaian cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu yang mencatat rekod terbaik dalam tempoh sedekad membuktikan keberkesanan sokongan industri dalam memperkasa pendidikan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah pelajar beroleh keputusan cemerlang terus meningkat, mencerminkan usaha berterusan semua pihak.
  • Semakan semula SPM menambah 26 pelajar memperoleh semua A, meningkat daripada 591 kepada 614 orang.
  • Petronas kekal rakan strategik, menawarkan pendedahan laluan kerjaya, peluang biasiswa dan tajaan pendidikan dalam dan luar negara.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamad berkata, keputusan tersebut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila jumlah pelajar memperoleh keputusan cemerlang terus bertambah.

Menurut beliau, semakan semula keputusan SPM turut menyaksikan pertambahan 26 pelajar yang memperoleh semua A, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 591 kepada 614 orang.

“Perkembangan ini amat membanggakan dan mencerminkan usaha berterusan semua pihak dalam meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar,” katanya.

Dalam masa sama, kejayaan kohort kali ini turut menggambarkan ketahanan pelajar yang berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan dalam sistem pendidikan.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Aspirasi Penajaan Pendidikan Petronas di sini.

Sementara itu, Petronas kekal sebagai rakan strategik utama dalam menyokong pembangunan pendidikan di negeri berkenaan.

Inisiatif tersebut memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai laluan pendidikan dan kerjaya, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan maritim.

Selain itu, penerangan turut diberikan berkaitan peluang biasiswa dan tajaan pendidikan sama ada di dalam mahupun luar negara.