
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Seramai 80 calon daripada 7,636 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya memperoleh semua A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
- MRSM kekal institusi peneraju kecemerlangan pendidikan negara.
- Gred Purata Maktab MRSM 2.067 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan.
- Lima MRSM berada dalam kelompok terbaik keseluruhan, mengatasi SBP dan sekolah harian lain.
- Empat pelajar Orang Asli catat keputusan 9A; 114 pelajar peroleh sekurang-kurangnya 5A, meningkat daripada 87.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pencapaian itu membuktikan MRSM kekal sebagai institusi peneraju kecemerlangan pendidikan negara.
“Keputusan SPM 2025 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.067 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan.
“Sebanyak lima MRSM berada dalam kelompok terbaik secara keseluruhan, mengatasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah harian lain di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata empat pelajar Orang Asli turut mencatat keputusan 9A, manakala 114 pelajar memperoleh sekurang-kurangnya 5A, meningkat berbanding 87 pelajar pada tahun lalu.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelbagai agensi dalam memperkasa pendidikan komuniti Orang Asli.
Dalam pada itu, beliau berkata jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.04 mata berdasarkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) hasil pelbagai inisiatif kerajaan.