
KUANTAN, 29 Mac – Hampir 60 hektar daripada 300 hektar kebakaran di sebuah ladang kelapa sawit di Rompin dipadamkan setakat 5 petang semalam.
- Pengeboman air dilaksanakan 85 kali menggunakan 68,000 liter bagi mempercepat pemadaman dan kawalan kebakaran.
- Operasi dibahagikan kepada empat sektor; tumpuan pada sektor A dan C melibatkan tiga pasukan termasuk unit udara.
- Sektor B dan D sudah terkawal dan pihak bomba jangka kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dalam seminggu.
- APIMS Rompin catat kualiti udara tidak sihat (IPU 152); Jabatan Alam Sekitar akan semak punca pencemaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata kaedah pengeboman air telah dilaksanakan 85 kali melibatkan penggunaan 68,000 liter air bagi mempercepat proses pemadaman dan mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kawasan operasi dibahagikan kepada empat sektor dan tumpuan hari ini ialah pemadaman di sektor A dan C yang membabitkan tiga pasukan termasuk unit udara yang akan membantu melaksanakan pengeboman air.
“Sektor B dan D sudah terkawal setakat ini dan kita menjangkakan kebakaran ladang ini akan dapat dipadamkan sepenuhnya dalam seminggu lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) daerah Rompin mencatatkan kualiti udara tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 152 setakat 10 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang Zakaria Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan melakukan semakan jika IPU tidak sihat itu berpunca daripada kebakaran berkenaan atau faktor lain. – BERNAMA