
KUALA NERUS, 24 Mac – Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dilaporkan kembali sesak apabila orang ramai mula pulang ke ibu negara selepas sambutan Aidilfitri.
- Kesesakan dijangka berterusan sehingga malam, khususnya ke arah Plaza Tol Gombak.
- Pergerakan kenderaan meningkat terutama pada waktu pagi dan petang, menurut tinjauan RTM.
- Aliran trafik masih terkawal walaupun berlaku kelewatan di beberapa laluan.
- Perantau manfaat cuti tambahan; ada yang pulang awal untuk rehat sebelum kembali bertugas.
Kesesakan dijangka berterusan sehingga malam, khususnya menuju ke Plaza Tol Gombak.
Tinjauan RTM mendapati pergerakan kenderaan di laluan keluar masuk LPT semakin meningkat terutama pada waktu pagi dan petang.
Bagaimanapun, aliran trafik masih terkawal meskipun berlaku kelewatan di beberapa laluan.
Menurut seorang pengguna lebuh raya, Fitri Zaquan Zaid berkata, perjalanan kali ini sedikit perlahan namun masih bergerak lancar.
“Agak perlahan sedikit, tetapi lebih baik berbanding sebelum ini. Aliran trafik masih lancar walaupun kenderaan semakin banyak,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Aizat Zulkifle berkata, kesesakan mula dirasai sejak awal perjalanan.
“Saya bertolak pukul 10 pagi dan mula rasa sesak dari kawasan Permaisuri. Biasanya laluan lancar, tetapi hari ini kenderaan memang banyak,” katanya.
Bagi perantau, Suhaidah Ismail, cuti tambahan memberi ruang untuk merancang kepulangan dengan lebih teratur.
“Saya balik hari ini dan esok terus bekerja. Keadaan perjalanan setakat ini masih okay dan sudah biasa,” katanya.
Sementara itu, Nur Hidayah Zulkifli mengambil peluang pulang lebih awal bagi mendapatkan rehat secukupnya sebelum kembali bertugas.
“Saya belum bekerja esok, jadi ambil peluang pulang lebih awal. Sekurang-kurangnya ada masa untuk berehat, walaupun cuti hanya ditambah sehari,” katanya.
Aliran trafik di LPT dijangka terus meningkat menjelang malam dengan pergerakan kenderaan perlahan namun masih terkawal ke arah ibu negara.