
PUTRAJAYA, 12 Mac – Kesesuaian pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) atau ‘work from home’ (WFH) antara perkara yang akan diteliti dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri esok susulan konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global.
- Kerajaan akan menilai keadaan ekonomi global dan data berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.
- Mesyuarat Kabinet dijangka meneliti perkembangan harga minyak mentah dan kenaikan kos bahan api serta implikasinya terhadap tenaga dan pengangkutan.
- Kerajaan akan mempertimbangkan langkah menyokong industri dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk menangani ketidaktentuan ekonomi.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut akan dibincangkan bagi menilai situasi semasa termasuk impaknya terhadap harga minyak mentah dunia, bahan bakar penerbangan serta ekonomi negara.
Menurut beliau, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu keadaan ekonomi global dan data berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Pasca pandemik, terdapat syarikat yang telah melaksanakan kaedah bekerja secara hibrid termasuk bekerja dari rumah. Di pihak kerajaan, kita akan meneliti kesesuaian pelaksanaan BDR dan perkara ini mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.
“Kita akan melihat terlebih dahulu keadaan ekonomi dunia serta angka-angka berkaitan sebelum memutuskan sebarang tindakan termasuk langkah menyokong industri dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kita tidak boleh mengambil tindakan tanpa memahami kesannya. Kerajaan tidak mahu merencatkan pertumbuhan ekonomi, namun pada masa sama tidak mahu berbelanja sehingga memberi kemudaratan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, mesyuarat khas Kabinet itu juga dijangka meneliti perkembangan harga minyak mentah dunia serta peningkatan kos bahan api, termasuk implikasinya terhadap kos tenaga dan sektor pengangkutan.
Jelas beliau, kerajaan turut akan mempertimbangkan beberapa langkah bersesuaian bagi memastikan kesan ketidaktentuan ekonomi global dapat ditangani secara berkesan.