
JERLUN, 4 Mac- Kesan terhadap sekuriti makanan negara susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, dipantau rapi.
- Menteri arah Bahagian Antarabangsa dan Sekuriti Makanan sediakan laporan berkaitan sekuriti makanan dalam masa seminggu.
- Bekalan makanan belum terjejas secara langsung tetapi kebimbangan utama ialah kenaikan harga minyak global menjejaskan kos import makanan.
- Paras takungan empangan rendah, Pedu 42.23%, Muda 11.12%, Ahning 55.96%, jumlah keseluruhan 41.55%, dijangka menjejaskan hasil padi musim ini.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Katanya meskipun ketika ini bekalan makanan tidak terjejas secara langsung, namun kebimbangan utama adalah kenaikan harga minyak global.
“Saya dah arahkan Bahagian Antarabangsa dan Sekuriti Makanan membuat laporan berkaitan sekuriti makanan dan saya bagi masa seminggu.
“Jadi umumnya bekalan makanan kita tak berapa terjejas cuma kita bimbang kalau berlarutan kenaikan harga minyak ia mengakibatan pengimpotan bahan makan kita juga meningkat,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi serta sesi perjumpaan bersama pemimpin peladang kawasan MADA dekat sini.
Mengulas mengenai paras air empangan di kawasan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda MADA yang terjejas akibat kemarau di Kedah, beliau berkata ia dijangka memberi impak kepada hasil pengeluaran padi pada musim ini.
Paras air di empangan utama, khususnya Empangan Pedu susut ke paras sekitar 40 peratus akibat cuaca panas melampau dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Menurut laman rasmi MADA, Empangan Pedu mencatatkan kadar takungan air sebanyak 42.23%, Empangan Muda (11.12%) dan Empangan Ahning (55.96%).
Jumlah keseluruhan kadar takungan air sebanyak 41.55%.