All England: Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir

Aaron-Wooi Yik ke separuh akhir All England 2026 selepas menumpaskan rakan senegara dalam aksi suku akhir – BAM

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2026 selepas menumpaskan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Birmingham, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menang 21-16, 20-22, 21-14 dalam 61 minit pada suku akhir.
  • Kemenangan itu kelima mereka ke atas pasangan senegara daripada lapan pertemuan.
  • Separuh akhir menentang Chen Bo Yang-Liu Yi; rekod pertemuan 3-1; kemenangan bawa peluang ke final.

Pasangan ranking kedua dunia itu mencatat kemenangan 21-16, 20-22, 21-14 dalam pertarungan selama 61 minit, sekali gus menempah tiket ke kelompok empat terbaik kejohanan bertatus Super 1000 itu.

Kemenangan itu juga menjadi yang kelima buat Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan senegara tersebut daripada lapan pertemuan keseluruhan sebelum ini.

Di separuh akhir, Aaron-Wooi Yik dijadual menentang pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang mara selepas menewaskan pasangan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat, 21-16 dan 21-10 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pertemuan itu bakal menjadi yang keempat antara kedua-dua pasangan dengan Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan rekod 3-1 ke atas gandingan dari China berkenaan.

Kemenangan dalam aksi separuh akhir nanti bakal membawa pasangan negara itu ke pentas final All England sekali gus membuka peluang untuk menambah satu lagi pencapaian berprestij dalam karier mereka di pentas antarabangsa. – BERNAMA