
KUALA LUMPUR 6 Mac –Program Sinar Ramadan 2026 tampil dengan inisiatif penukaran al-Quran lama kepada naskhah baharu sebagai usaha memelihara kesucian mushaf di samping membantu golongan memerlukan memiliki al-Quran yang lebih baik untuk ibadah.
- Pendedahan tatacara pelupusan al-Quran lama yang betul dan beradab kepada masyarakat.
- Program memberi fokus bantuan naskhah baharu kepada golongan B40 dan asnaf yang memerlukan.
- Kekangan kewangan menyebabkan penggunaan al-Quran uzur; inisiatif mahu meringankan beban mereka.
- Program mendapat sokongan komuniti serta mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan, NGO dan sektor korporat.
Program yang akan berlangsung esok di Masjid Makmuniah, Simpang Lima Sungai Besar itu turut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tatacara pelupusan al-Quran lama yang betul dan beradab.
Pengarah Program Sinar Ramadan 2026, Mohd Hanif Abd Halim berkata, masih ramai masyarakat menyimpan naskhah al-Quran lama di rumah kerana tidak mengetahui cara pelupusan sewajarnya.
Menurut beliau, program berkenaan bertujuan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab menjaga kesucian mushaf serta memastikan pelupusannya dilakukan mengikut kaedah yang betul.
“Di rumah kita banyak naskhah al-Quran lama yang disimpan tetapi kita tidak tahu cara untuk melupuskannya. Melalui program ini kita ingin mengajar masyarakat tatacara yang betul bagi menjaga kesucian mushaf al-Quran,” katanya
Dalam masa sama, program itu turut memberi fokus kepada bantuan kepada golongan B40 dan asnaf yang memerlukan naskhah al-Quran baharu.
Beliau berkata, kekangan kewangan menjadi antara faktor yang menyebabkan sesetengah individu masih menggunakan al-Quran lama walaupun keadaannya sudah uzur.
“Program ini memang kita khususkan untuk membantu golongan B40 menukar al-Quran lama kepada al-Quran baharu supaya mereka dapat melaksanakan ibadah dengan lebih selesa,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Beliau turut memaklumkan program berkenaan mendapat sokongan komuniti setempat dan pihak penganjur mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat bagi menjayakan inisiatif tersebut.
Selain penukaran al-Quranlama kepada baharu, program Sinar Ramadan 2026 turut diserikan dengan pengagihan kuih raya dan bubur lambuk kepada masyarakat setempat sempena bulan Ramadan.
Inisiatif berkenaan diharap dapat menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat selain menggalakkan umat Islam untuk terus mendekati al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.