
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Tanpa sebarang latihan menyelamat secara profesional, tujuh pemuda nekad terjun ke dalam Tasik Biru, Kundang di Rawang bagi menyelamatkan seorang ibu bersama anak-anaknya selepas kenderaan dinaiki mangsa terjunam ke dalam tasik itu pada 25 Februari lalu.
- Tujuh pemuda nekad menyelamatkan seorang ibu dan dua anak dari Tasik Biru walau tanpa latihan menyelamat profesional.
- Mereka hanya tahu berenang, menghadapi kedalaman tasik dan risiko nyawa namun tetap bertindak selepas terdengar suara anak kecil.
- Tindakan mereka dihargai; mereka dijemput menjadi tetamu program dan diraikan oleh pemimpin negara.
Salah seorang daripada mereka, Mohamad Fahmi mengakui cabaran utama ialah mereka hanya tahu berenang, namun tidak mempunyai kemahiran khusus untuk operasi menyelamat dalam situasi kecemasan.
“Cabaran sebenarnya, kita tahu berenang tetapi kita tak tahu cara menyelamatkan orang. Tambahan pula tasik itu sangat dalam dan kita tak dapat mengagak kedalamannya.
“Bila nampak kawan-kawan bersemangat nak tolong, kita pun rasa tak sampai hati untuk tidak membantu. Masa itu memang tak fikir panjang, walaupun sebenarnya kita pun ada nyawa,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Beliau berkata pada awalnya mereka berasa takut untuk turun ke dalam air, namun terdorong selepas terdengar suara anak kecil meminta pertolongan.
“Bila dengar suara anak kecil, kita memang takut nak turun. Tapi kita digerakkan juga sebab tak sanggup tengok ibu dan anak itu lemas begitu sahaja,” katanya.
Menurutnya, pengalaman itu memberi kesan mendalam kepada mereka tentang nilai kemanusiaan dan kepentingan bertindak segera walaupun tanpa kelengkapan mencukupi.
Difahamkan, kumpulan pemuda berkenaan akan bertemu keluarga mangsa dalam masa terdekat selepas keadaan kembali stabil.
Pada Jumaat, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan tujuh pemuda yang menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam nahas di Tasik Biru, Kundang, Selangor, pada majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.