
- Konsep komuniti memperkukuh silaturahim dan menyemarakkan pengisian rohani sepanjang Ramadan.
- Sesi tazkirah ringkas sebelum Maghrib menambah makna ibadah puasa dalam suasana tenang.
- Lokasi luas dan gerai juadah menyediakan ruang santai serta pertemuan keluarga dan rakan.
PUTRAJAYA, 21 Februari – Berbuka puasa secara santai di kawasan lapang sambil mengikuti tazkirah Ramadan di Laman Iftar dan Tazkirah, Festival Ramadan Putrajaya 2026, Presint 3 menjadi pilihan ramai.
Konsep berbuka secara komuniti itu bukan sahaja menawarkan kelainan, malah menjadi medan memperkukuh silaturahim serta menyemarakkan pengisian rohani sepanjang Ramadan.
Meskipun hujan renyai mewarnai suasana petang, kehadiran pengunjung tetap tidak terjejas apabila mereka terus memanfaatkan minggu akhir cuti sekolah untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Sebelum azan Maghrib berkumandang, pengunjung turut mengikuti sesi tazkirah ringkas sebagai pengisian rohani sekali gus menambah makna kepada ibadah berpuasa dalam suasana yang tenang.
Selain memberi ruang menghayati pengisian rohani, lokasi ini turut menjadi medan pertemuan rakan-rakan, di samping menawarkan pelbagai pilihan juadah dari gerai yang disediakan.
Pengunjung yang hadir turut menyifatkan suasana di Presint 3 sebagai lokasi sesuai untuk meluangkan masa dalam persekitaran yang luas dan selesa.