
KUALA LUMPUR, 20 Februari – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, dimasukkan ke hospital pada hari keempat Tahun Baharu Cina selepas mengalami keletihan melampau akibat jadual kerja yang padat berminggu-minggu.
- Steven Sim dimasukkan hospital selepas mengalami keletihan melampau akibat jadual kerja padat.
- Doktor menasihatkan beliau berehat buat sementara waktu untuk pemulihan.
- Keadaan dilaporkan stabil dan tidak melibatkan perkara serius.
- Keluarga dan pegawai minta ruang untuk beliau berehat sepenuhnya.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau memaklumkan, doktor menasihatkannya untuk berehat buat sementara waktu.
Beliau pada masa sama optimis akan kembali lebih kuat selepas pemulihan.
“Doktor nasihatkan agar berehat untuk seketika. I’ll be back soon, stronger! Jalan teruih! Kebaikan akan menyusul selepas musibah,” katanya.
Difahamkan keadaannya stabil dan tidak melibatkan perkara serius, serta kini dalam pemantauan doktor sambil berehat seperti yang disarankan.
Sementara itu, media melaporkan, salah seorang pegawai Steven Sim yang dihubungi memaklumkan, menteri itu dipercayai mengalami keletihan melampau.
Beliau dipetik berkata, keadaan Steven Sim tidak serius dan keluarganya mahu menteri berkenaan diberi ruang untuk berehat sepenuhnya.