Johor tubuh Jawatankuasa Khas perkasa IKS

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor/RTM

ISKANDAR PUTERI, 20 Februari – Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi memperkasa dan melindungi sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) daripada ancaman usahawan tidak berdaftar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan Jawatankuasa Khas untuk memperkasa dan melindungi sektor IKS daripada usahawan tidak berdaftar.
  • Tinjauan mendapati peniaga runcit menghadapi persaingan harga tidak sihat termasuk manipulasi harga.
  • Semakan semula kelulusan dan garis panduan akan dilakukan selepas Hari Raya bersama Exco berkaitan.
  • Pemantauan fokus kepada perniagaan makanan, runcit dan perkhidmatan serta penempatan warga tempatan di kaunter bayaran.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah itu susulan aduan peniaga IKS berhubung persaingan harga lebih rendah yang ditawarkan pihak tertentu sehingga memberi tekanan kepada peniaga tempatan.

Menurut beliau, hasil tinjauan di beberapa kawasan termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mendapati peniaga runcit berdepan persaingan harga yang tidak sihat.

“Saya melihat terdapat manipulasi harga yang memberi tekanan kepada peniaga tempatan.

“Di peringkat Menteri Besar, beliau telah mengarahkan saya bersama Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Lee Ting Han untuk meneliti semula kelulusan serta maklum balas yang diterima.

“Kita akan berbincang selepas Hari Raya bagi melihat semula semua garis panduan sedia ada,” katanya.

Tambah beliau, tiga skop utama pemantauan melibatkan sektor perniagaan makanan, runcit dan perkhidmatan.

Turut dicadangkan penempatan warga tempatan di kaunter bayaran bagi memastikan peluang pekerjaan terus memanfaatkan rakyat negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan ke Bazar Ramadan di Nusa Perintis, di sini, pada Khamis.