Pelajar warga Myanmar dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Hasrat empat sekawan warga asing untuk bercuti ke Terengganu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Pantai Batu Buruk di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sithu Moe Lwin, 18, pelajar warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di Pantai Batu Buruk.
  • Tiga rakan mangsa diselamatkan, seorang menerima bantuan pernafasan di lokasi.
  • Operasi pencarian menggunakan kaedah pencarian permukaan kerana laut amat bergelora.
  • 43 anggota, termasuk lapan PPDA, terlibat; operasi dihentikan sementara dan disambung ikut cuaca.

Mangsa dikenali sebagai Sithu Moe Lwin, 18, pelajar warga Myanmar yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Negeri Sembilan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Muhammad Basri Kamarazaman berkata setakat ini mangsa masih belum ditemui.

Beliau berkata tiga lagi rakan mangsa berjaya diselamatkan, namun seorang daripadanya perlu diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian.

“Operasi pencarian dilaksanakan menggunakan kaedah pencarian permukaan (surface searching) kerana keadaan laut amat bergelora.

“Kita masih belum dapat melaksanakan teknik selaman berikutan ombak kuat dan arus di dasar laut yang terlalu deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Muhammad Basri berkata seramai 43 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat termasuk lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Beliau berkata kawasan pencarian meliputi jarak kira-kira dua kilometer sepanjang pesisir pantai yang dibahagikan kepada beberapa sektor, namun operasi terpaksa dihentikan sementara berikutan keadaan ombak besar.

Operasi akan disambung semula bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.