Pembinaan rumah ibadat perlu dapat kelulusan PBT

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah isu pembinaan kuil tanpa kebenaran
perlu dapat dihenti dan dimuktamadkan. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Februari– Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, semua rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada kerajaan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua rumah ibadat mesti dibina berdasarkan permohonan sah dan mendapat kelulusan kerajaan serta Pihak Berkuasa Tempatan.
  • Pembinaan perlu mematuhi peraturan dan garis panduan, disemak secara telus, adil dan mengikut undang-undang.
  • Pemantauan berterusan perlu bagi membanteras pembinaan tanpa kebenaran yang mengancam keamanan dan keharmonian.

Pembinaan rumah ibadat juga perlu mengikut segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Baginda bertitah, sebarang pembinaan mana-mana rumah ibadat tanpa kelulusan yang sah yang melibatkan pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama sekali gus mengancam keselamatan negeri dan negara.

Sultan Selangor turut mengingatkan pihak kerajaan dan PBT supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat agar proses dibuat secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Aspek pemantauan perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda telah disembah maklum oleh Kerajaan Negeri Selangor berhubung statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran sehingga 31 Januari 2026 yang mencecah 687 buah kuil.

“Ini membabitkan 388 buah kuih yang dibina di tanah milik kerajaan dan 299 buah kuil dibina atas tanah milik persendirian.

“Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu sekitar lebih kurang 11.3 peratus di Selangor,” titah baginda.

Justeru, baginda menegaskan, isu pembinaan kuil tanpa kebenaran perlu dapat dihenti dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama dan telah menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.