
KUALA LUMPUR, 8 Februari – Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) mencatat kutipan RM4 juta sejak Januari hingga kini, sekali gus memperkukuh pelaksanaan inisiatif kebajikan yang tersusun dan mampan di Kedah.
- TASK telah mengagihkan RM2.04 juta kepada rakyat dan komuniti Kedah untuk manfaat sosial.
- Majlis pelancaran memperkenalkan identiti korporat dan laman web serta mengumpulkan penyumbang dan rakan strategik.
- TASK beroperasi berdasarkan enam teras strategik termasuk pendidikan, kesihatan, kebajikan, sukan, alam sekitar dan perlindungan haiwan.
Menurut Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, sejumlah RM2.04 juta telah diagihkan bagi memberi manfaat kepada rakyat dan komuniti di negeri itu.
“Kami amat berterima kasih kepada para penyumbang atas sumbangan melebihi RM4 juta yang diterima hari ini, yang di luar jangkaan kami.
“Sejajar dengan ketetapan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), TASK perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada sumbangan yang diterima.
“Justeru, kami akan memastikan dana ini diagihkan sebaik mungkin kepada golongan yang memerlukan,” titah baginda selepas Majlis Pelancaran TASK di Bukit Kiara di sini.
Majlis pelancaran disempurnakan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, selaku Penaung TASK.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Majlis turut menyaksikan pelancaran identiti korporat dan laman sesawang TASK, selain menghimpunkan penyumbang serta rakan strategik bagi memperkenalkan hala tuju dan komitmen TASK dalam menyampaikan impak sosial mampan kepada rakyat Kedah.
TASK ditubuhkan pada Oktober 2022, mula beroperasi pada penghujung 2023, dan diperbadankan bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri pada awal 2025.
TASK beroperasi berlandaskan enam teras strategik utama iaitu pendidikan; kesihatan dan kesejahteraan; kebajikan sosial; sukan; pemuliharaan alam sekitar; dan perlindungan haiwan.