
UKRAINE, 7 Februari -10 ekor anjing penyelamat mati dan beberapa lagi cedera selepas sebuah dron Rusia menyerang sebuah pusat perlindungan haiwan di selatan Ukraine awal pagi Jumaat, menurut kakitangan pusat tersebut.
- Serangan dron Rusia memusnahkan pusat perlindungan haiwan "Give Me Your Paw, My Friend".
- Sekurang-kurangnya 10 anjing penyelamat mati dan beberapa lagi cedera dalam letupan.
- Sukarelawan trauma, tempat itu rosak teruk dengan sangkar hancur dan serpihan berselerak.
Serangan tersebut berlaku sekitar pukul 9.00 pagi waktu tempatan (0700 GMT).
“Kami mendengar bunyi berdengung yang sangat menakutkan, kemudian letupan kuat,” kata Iryna kepada AFP.
Keadaan di luar pusat perlindungan itu disifatkannya sebagai amat mengerikan.
“Semua anjing yang berada di kawasan ini pada masa itu mati. Sangkar hancur, pokok tumbang, serpihan bertaburan, asap dan api. Ia sangat menakutkan,” katanya.
Wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian melihat para sukarelawan menangis, saling berpelukan dan membersihkan runtuhan akibat letupan.
“Ini sangat mengerikan. Anjing-anjing itu hancur akibat serpihan letupan, cebisan tubuh mereka melekat pada pagar. Sangat sukar untuk saya bercakap tentangnya,” kata Alina Fober, seorang sukarelawan berusia 18 tahun.
“Saya sangat kasihan kepada mereka. Saya kenal semua anjing itu, saya menjaga mereka. Mereka anjing yang baik dan cantik,” tambahnya dengan nada sebak.
Pusat perlindungan haiwan itu dikenali sebagai “Give Me Your Paw, My Friend”, terletak kira-kira 30 kilometer dari garis hadapan pertempuran di bandar Zaporizhzhia dan telah beroperasi lebih sedekad, menyediakan perlindungan kepada haiwan terbiar dan cedera. – AFP