Pendakwah bebas direman lagi disyaki seleweng dana RM1.3 Juta

Pendakwa bebas ditahan lagi hari ini bersama Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan di Kedah

ALOR SETAR, 6 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pendakwah bebas buat kali kedua bersama seorang lagi individu iaitu Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri itu kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Majistret membenarkan reman tiga hari terhadap kedua-dua suspek sehingga 8 Februari.
  • Suspek direman semula selepas ditahan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani untuk siasatan berasingan.
  • Pendakwah dan Ketua Kewangan disyaki bersubahat menyeleweng dana dimasukkan ke akaun persendirian.
  • Siasatan SPRM bersama bahagian AML sejak Oktober dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Majistret Nur Amalina Abd Rahman membenarkan perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari ini terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan semula kira-kira pukul 6.00 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, kedua-dua suspek sebelum itu direman selama sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani sebelum dibebaskan pada 5.00 petang hari sama.

Pendakwah bebas yang juga Pengarah Urusan institusi berkenaan direman buat kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana terbabit yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.

Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek meluluskan pembayaran bagi pembelian sebuah rumah bernilai kira-kira RM500,000.

Semalam, kedua-dua suspek direman kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 sebagai bayaran mengumpul dana institusi tersebut tanpa kelulusan rakan kongsi lain.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi RTM mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan SPRM Kedah bersama Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lalu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.