
KUALA LUMPUR, 3 Februari – Penumpang bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) tidak lagi perlu beratur semula untuk menukar tiket apabila membeli melalui Online Travel Agent (OTA) selepas Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mewajibkan semua tiket bas ekspres OTA dilengkapi kod QR, bermula Februari ini.
- APAD mewajibkan semua tiket OTA dilengkapi kod QR mulai Februari untuk mempercepat pergerakan penumpang.
- Langkah ini dijangka mengurangkan kesesakan di TBS, terutama semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Aidilfitri.
- Tiket lama tanpa kod QR boleh diperoleh kod QR secara dalam talian melalui laman web rasmi terminal TBS.
- Inisiatif ini sebahagian daripada usaha kerajaan memodenkan dan mendigitalkan perkhidmatan pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pelaksanaan sistem kod QR itu dijangka dapat mempercepat pergerakan penumpang dan mengurangkan kesesakan di TBS, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
“Salah satu isu yang sering dikeluhkan orang ramai sebelum ini ialah apabila mereka membeli tiket melalui OTA, mereka perlu beratur sekali lagi di TBS untuk menukar kod QR. Isu ini kini telah diselesaikan kerana semua tiket OTA mulai Februari ini sudah mempunyai kod QR dan tidak memerlukan pertukaran semula,” jelasnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di TBS, hari ini.
Beliau berkata, bagi tiket yang dibeli sebelum Februari dan belum ada kod QR, pihak TBS menyediakan kemudahan untuk mendapatkan kod QR secara dalam talian melalui laman web rasmi terminal.
“Dengan penambahbaikan ini, kami berharap jumlah orang yang beratur akan berkurangan dengan mendadak, sekali gus mempercepat pergerakan penumpang terutama pada musim perayaan,” tambahnya.
Loke menegaskan, tindakan mewajibkan kod QR pada tiket OTA adalah respon kerajaan terhadap aduan orang ramai serta usaha memastikan pengalaman perjalanan penumpang lebih mudah dan efisien.
Pelaksanaan sistem ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan digitalisasi perkhidmatan pengangkutan awam dan memastikan TBS beroperasi dengan lancar ketika tempoh puncak perayaan.