Ribut salji landa selatan AS, suhu beku melampau

Foto AFP

WASHINGTON, 1 Februari -Beberapa kawasan di selatan Amerika Syarikat dilanda ribut salji kuat membawa kepada suhu beku melampau, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut salji kuat di selatan AS menyebabkan suhu beku melampau dan amaran keselamatan.
  • Beratus kemalangan dilaporkan, termasuk 750 di Carolina Utara pada hari Sabtu.
  • Lebih 1,900 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang Charlotte dan Atlanta.
  • Penutupan pantai, tapak perkhemahan, lebuh raya dan penangguhan ujian NASA di Cape Canaveral.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di Carolina Utara dan negeri-negeri berhampiran supaya tidak menggunakan jalan raya serta memberi amaran bahawa struktur berhampiran pantai terancam akibat ribut berkenaan.

Keseluruhan Carolina Utara dan Carolina Selatan, serta beberapa kawasan di Georgia, timur Tennessee, Kentucky dan selatan Virginia diletakkan bawah amaran ribut musim sejuk.

Di Carolina Utara sahaja, sebanyak 750 kemalangan jalan raya dilaporkan pada Sabtu, menurut peronda lebuh raya negeri itu.

Faust di Carolina Utara merekodkan taburan salji setebal 14.5 inci (37 sentimeter), manakala West Critz di Virginia mencatatkan 12.5 inci. Harrisburg, Tennessee pula menerima lebih sembilan inci salji.

Di bandar Cape Carteret, angin kencang menyebabkan salji tebal berterbangan secara mendatar, mendorong Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran bahawa perjalanan adalah “berbahaya dan berpotensi mengancam nyawa, terutamanya jika terperangkap”.

Ribut itu turut memaksa pembatalan lebih 1,000 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Charlotte Douglas, hab utama American Airlines.

Pihak lapangan terbang memaklumkan seramai 300 anggota pasukan salji digerakkan bagi membersihkan landasan, laluan teksi, jalan raya dan laluan pejalan kaki.

Di Atlanta, lebih 600 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang antarabangsa bandar itu, yang merupakan lapangan terbang paling sibuk di dunia.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memaklumkan bahawa sistem ribut pantai yang semakin menguat akan terus membawa salji sederhana hingga lebat, angin kencang dan berkemungkinan keadaan ribut salji di Carolina.

Di Carolina Utara, Perkhidmatan Taman Negara mengumumkan penutupan tapak perkhemahan dan beberapa pantai di Outer Banks.

Beberapa struktur di kawasan pantai dilaporkan terancam, manakala sebahagian lebuh raya yang merentasi kawasan bukit pasir turut ditutup.

Cuaca sejuk melampau itu turut memaksa NASA menangguhkan ujian pengisian bahan api hujung minggu ini bagi roket setinggi 322 kaki (98 meter) yang berada di tapak pelancaran Cape Canaveral, Florida.

Penangguhan itu dijangka menunda sekurang-kurangnya beberapa hari misi penerbangan manusia mengelilingi Bulan yang dirancang bulan depan. – AFP

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan