
NEW YORK, 12 Januari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Ahad berkata Amerika Syarikat akan mengambil alih Greenland sambil memberi amaran bahawa Rusia dan China berkemungkinan akan ‘mengambil alih’ wilayah itu sekiranya Washington tidak bertindak.
- Trump mahu Amerika Syarikat mengambil alih Greenland atas alasan keselamatan, bimbang Rusia dan China akan mengambilnya jika tidak bertindak.
- Beliau terbuka untuk rundingan dengan Greenland tetapi menegaskan Amerika Syarikat akan memiliki pulau itu dengan satu cara atau lain.
- Greenland berperanan strategik dan menempatkan pangkalan tentera AS sejak Perang Dunia Kedua, menimbulkan kebimbangan sekutu Eropah.
- Majoriti penduduk dan pemimpin Greenland menolak kawalan AS, menegaskan hak menentukan masa depan sendiri.
Trump berkata, penguasaan terhadap wilayah autonomi Denmark yang kaya dengan sumber mineral itu penting bagi keselamatan negara Amerika Syarikat, susulan peningkatan aktiviti ketenteraan Rusia dan China di kawasan Artik.
“Jika kami tidak mengambil Greenland, Rusia atau China akan mengambilnya, dan saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku,” kata Trump kepada pemberita ketika berada di dalam pesawat Air Force One, meskipun kedua-dua negara itu tidak pernah membuat tuntutan ke atas pulau berkenaan.
Trump terbuka untuk membuat perjanjian dengan wilayah pemerintahan sendiri Denmark itu, namun menegaskan bahawa “sama ada melalui satu cara atau yang lain, kita akan memiliki Greenland.”
Denmark dan sekutu Eropah lain menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman Trump berhubung pulau itu, yang mempunyai peranan strategik antara Amerika Utara dan Artik, serta menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat sejak Perang Dunia Kedua.
Greenland merupakan koloni Denmark sehingga 1953 sebelum memperoleh pemerintahan sendiri 26 tahun kemudian, dan kini sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan hubungannya dengan Denmark pada masa depan.
Sebahagian besar penduduk serta parti politik di Greenland menegaskan mereka tidak mahu berada di bawah kawalan Amerika Syarikat dan menekankan bahawa rakyat Greenland berhak menentukan masa depan sendiri, satu pendirian yang sering dicabar oleh Trump.
“Greenland sepatutnya membuat perjanjian itu, kerana Greenland tidak mahu melihat Rusia atau China mengambil alih,” katanya lagi.
Trump turut menyatakan bahawa Rusia dan China mempunyai “kapal pemusnah dan kapal selam di merata tempat.”
Perdana Menteri Denmark sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang tindakan Amerika Syarikat untuk mengambil Greenland secara paksa akan memusnahkan hubungan keselamatan transatlantik yang telah terjalin selama 80 tahun.
Trump bagaimanapun menolak kenyataan itu dengan berkata, “Jika ia menjejaskan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), ia menjejaskan NATO. Tetapi anda tahu, Greenland lebih memerlukan kami berbanding kami memerlukan mereka.”- AFP