
KUALA LUMPUR, 10 Januari -Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) disaran memberi tumpuan kepada pengurusan kos dan daya tahan perniagaan pada 2026, susulan ketidaktentuan ekonomi global yang masih berterusan.
- PKS digalakkan fokus pada pengurusan kos untuk kekal bertahan menghadapi kos operasi meningkat dan perubahan corak perbelanjaan pengguna.
- Perkukuh asas perniagaan pada 2026 berbanding pengembangan agresif, dengan kawalan aliran tunai dan peningkatan kecekapan operasi.
- Manfaatkan skim pembiayaan, geran digital, latihan, e-dagang dan mentor bagi automasi, pasaran eksport serta pembangunan PKS belia dan luar bandar.
Presiden Persatuan SME Malaysia, Dr. Chin Chee Seong berkata, penekanan kerajaan terhadap pengukuhan ekonomi domestik dan pembangunan PKS dalam Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri adalah tepat pada masanya.
Menurut beliau, pengalaman sepanjang 2025 menunjukkan peningkatan kos operasi serta perubahan corak perbelanjaan pengguna memberi tekanan kepada perniagaan.
“Tahun 2025 merupakan tahun yang mencabar, dengan kos yang meningkat dan pengguna yang lebih berhati-hati berbelanja.
Sehubungan itu, PKS perlu mengawal aliran tunai, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Tambah beliau, tahun 2026 lebih sesuai dimanfaatkan untuk memperkukuh asas perniagaan berbanding pengembangan agresif.
Mengulas mengenai sokongan kerajaan, beliau berkata PKS digalakkan memanfaatkan skim pembiayaan, geran digital dan program latihan bagi meningkatkan automasi serta kesiapsiagaan ke pasaran eksport.
Dalam pada itu, dasar kerajaan turut membuka peluang kepada PKS belia dan luar bandar untuk berkembang melalui e-dagang dan penggunaan pembayaran digital.
“Dengan e-dagang dan pembayaran digital, perniagaan luar bandar kini boleh menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bimbingan perniagaan, mentor serta akses pembiayaan kekal penting bagi menyokong pertumbuhan mampan.
“Bagi usahawan muda, disiplin kewangan, pematuhan dan perancangan jangka panjang tetap penting untuk membina perniagaan yang mampan dan mampu mencipta pekerjaan,” jelasnya.
Beliau berkata, dengan sokongan dasar kerajaan yang praktikal serta kerjasama antara kerajaan dan industri, sektor PKS dijangka terus menjadi pemacu utama ekonomi domestik negara.