RON95 disasar untuk rakyat, kenderaan asing dilarang beli mulai April 2026

Foto fail/ RTM

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kerajaan akan memperkenalkan peraturan baharu melarang kenderaan berdaftar asing daripada membeli petrol RON95 bersubsidi bermula 1 April 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mulai 1 April 2026, kenderaan berdaftar asing dilarang membeli petrol RON95 bersubsidi.
  • Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik atau pemandu kenderaan asing yang melanggar larangan.
  • KPDN sedang kaji sekatan penggunaan kad kredit asing untuk membeli RON95 bagi tutup ruang ketirisan subsidi.
  • Ops Samar dipertingkatkan di stesen minyak titik panas untuk banteras penyalahgunaan dan penyelewengan subsidi.

Ia sebagai langkah tegas bagi memastikan subsidi petrol hanya dinikmati oleh rakyat negara ini yang layak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata peraturan itu akan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik atau pemandu kenderaan berpendaftaran asing yang didapati melanggar larangan tersebut.

Menurut beliau, KPDN turut mengkaji mekanisme menyekat penggunaan kad kredit asing bagi pembelian RON95, selari usaha menutup ruang ketirisan subsidi yang sekian lama menjadi kebimbangan kerajaan.

“Peraturan baharu ini disasarkan siap dan berkuat kuasa mulai 1 April 2026 bagi memastikan pemberian subsidi RON95 benar-benar disasarkan kepada rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Armizan memaklumkan Ops Samar akan dipertingkatkan, khususnya di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi petrol.

KPDN juga memandang serius sebarang dakwaan wujudnya ugutan atau pemerasan terhadap pengusaha stesen minyak termasuk yang melibatkan penggunaan rakaman video.

“Tindakan sedemikian merupakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang lain dan pihak terlibat boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). KPDN akan bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan kuasa penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, bagi usaha memperkukuh kawalan pasaran dan ekosistem perdagangan, Datuk Armizan memaklumkan sebanyak 1,006 laman web telah disekat atas pelbagai kesalahan melibatkan promosi dan pengiklanan transaksi dalam talian sepanjang tahun lalu.