
SAUDARA PENGARANG
- PPR sering dibina mengutamakan kuantiti bukan reka bentuk adaptif sesuai kehidupan sebenar penghuni.
- Reka bentuk rumah statik gagal sokong fungsi pelbagai seperti pejabat rumah dan penjagaan anak semasa krisis.
- Tanpa perancangan bersepadu, PPR berisiko menjadi pemusatan kemiskinan dan menghalang mobiliti sosial.
- Perumahan adaptif dengan penglibatan komuniti diperlukan untuk membina komuniti bandar berdaya tahan dan inklusif.
Di Malaysia, Program Perumahan Rakyat (PPR) sering dijadikan simbol kejayaan dasar perumahan mampu milik. Namun persoalan yang jarang dibincangkan secara jujur ialah: adakah PPR benar-benar mengangkat kesejahteraan komuniti bandar atau sekadar memindahkan kemiskinan ke dalam blok konkrit bertingkat?
Reka bentuk PPR: Standardisasi yang tidak mengambil kira realiti kehidupan sebenar
Kebanyakan PPR dibina berdasarkan standard minimum ruang dan kos. Namun kehidupan sebenar penghuni tidak statik. Rumah bukan lagi sekadar tempat tidur, ia menjadi pejabat, bilik darjah, ruang penjagaan anak dan pusat ekonomi kecil keluarga.
Pandemik COVID-19 membuktikan bahawa rumah yang tidak fleksibel gagal menyokong pelbagai fungsi sosial dan ekonomi yang diperlukan penghuni berpendapatan rendah.
Masalahnya, banyak perumahan kos rendah di Malaysia masih berorientasikan kuantiti iaitu berapa banyak unit boleh dibina dan bukan kualiti adaptif seperti bagaimana rumah boleh berkembang bersama keluarga. Apabila keluarga bertambah atau keperluan berubah, penghuni terperangkap dalam ruang yang tidak boleh diubah.
PPR dan Kitaran Kemiskinan Bandar
Perumahan kos rendah sepatutnya menjadi batu loncatan mobiliti sosial. Tetapi tanpa perancangan yang adaptif dan bersepadu, ia berisiko menjadi kawasan yang memusatkan kemiskinan. Infrastruktur yang lemah, kekurangan kemudahan komuniti, dan akses terhad kepada peluang ekonomi memperkukuh marginalisasi sosial.
Kajian tentang kehidupan masyarakat miskin bandar menunjukkan ramai penduduk masih berdepan rumah yang tidak selesa, kekurangan kemudahan asas dan infrastruktur yang menyebabkan keadaan menjadi semakin sukar jika berlaku cabaran mengejut dan tekanan hidup. Tanpa intervensi yang berkesan, PPR berisiko menjadi tempat masyarakat terpinggir dikumpulkan tanpa peluang mobiliti sosial yang sebenar.
Masanya Malaysia Beralih kepada Perumahan Adaptif
Pendekatan perumahan adaptif menawarkan paradigma baharu. Ia menekankan fleksibiliti reka bentuk, penyertaan komuniti, serta integrasi aspek sosial, kesihatan dan ekonomi dalam pembangunan perumahan. Konsep perumahan incremental iaitu rumah yang boleh dinaik taraf secara berperingkat mengikut kemampuan keluarga, sudah terbukti berkesan di pelbagai negara dan menjadi konsep asas pembinaan rumah kampung di Malaysia sejak dahulu lagi. Ia membolehkan penghuni memperbaiki kehidupan mereka secara perlahan tanpa tekanan kewangan yang besar.
Lebih penting, penglibatan komuniti dalam proses perancangan mampu meningkatkan rasa memiliki, memperkukuh jaringan sosial dan memastikan reka bentuk perumahan benar-benar mencerminkan realiti kehidupan penghuni.
Dari Rumah Kos Rendah Kepada Komuniti Berdaya Tahan
Masalah PPR bukan semata-mata isu reka bentuk bangunan. Ia adalah isu dasar bandar yang melihat perumahan sebagai produk fizikal, bukan ekosistem sosial. Perumahan adaptif menuntut pendekatan holistik termasuk zon inklusif, sokongan kewangan, pembangunan bercampur, serta integrasi teknologi dan reka bentuk mampan untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni.
Jika Malaysia benar-benar mahu membina bandar inklusif, PPR perlu ditransformasikan daripada model perumahan minimum kepada model komuniti berdaya tahan. Ini memerlukan keberanian politik, inovasi reka bentuk, dan perubahan paradigma dalam perancangan bandar.
Soalan Perlu Kita Jawab
Persoalan sebenar bukan lagi sama ada kita mampu membina lebih banyak PPR. Persoalannya ialah adakah kita sedang membina rumah untuk masa depan, atau sekadar menampung masalah hari ini?
Bandar yang adil bukan diukur melalui jumlah unit perumahan yang siap, tetapi melalui kemampuan penghuninya untuk hidup dengan bermaruah, sihat dan berdaya tahan. Jika PPR ingin menjadi simbol kejayaan sebenar, ia mesti berkembang menjadi perumahan adaptif yang mengangkat manusia, bukan sekadar menyusun mereka dalam kotak konkrit.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nor Azlina Abu Bakar
Jabatan Senibina
Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Universiti Putra Malaysia
e-mel: ab_azlina@upm.edu.my