MADA akan laksana penanaman padi guna kaedah tabur terus kering bagi musim 1/2026

MADA akan laksana penanaman padi guna kaedah tabur terus kering bagi musim 1/2026/ fotoBERNAMA

ALOR SETAR, 2 APRIL – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencadangkan pelaksanaan kaedah penanaman padi tabur kering bagi musim padi 1/2026 berikutan air di
empangan semakin susut akibat kemarau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan melibatkan kira-kira 100,641 hektar di Kawasan Muda dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi.
  • Jumlah takungan tiga empangan 39.42 peratus; Empangan Pedu 39.69%, Ahning 53.97%, Muda 11.52%.
  • Purata turunan hujan hanya 56 mm, 75 peratus lebih rendah berbanding purata 20 tahun (225 mm).
  • Pembajakan akhir: Fasa I 15 Apr; II 29 Apr; III 13 Mei. Menabur kering akhir: Fasa I 15 Mei; II 29 Mei; III 12 Jun.

Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata keputusan pelaksanaan melibatkan kira-kira 100,641 hektar kawasan di Kawasan Muda itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) hari ini.

Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan takungan air di tiga empangan utama berada pada tahap 39.42 peratus, iaitu 482,054 ekar kaki.

Paras ketiga-tiga empangan berkemaan ialah melibatkan Empangan Pedu pada paras 39.69 peratus dengan 347,305 ekar kaki, Empangan Ahning 53.97 peratus (120,349 ekar kaki) dan Empangan Muda 11.52 peratus (14,400 ekar kaki).

Manakala Purata turunan hujan di Kawasan Muda pula merekodkan hanya 56 milimeter, jauh lebih rendah berbanding purata 20 tahun iaitu 225 milimeter, menunjukkan penurunan sebanyak 75 peratus.

Dr Ismail berkata tarikh akhir pembajakan pertama bagi Fasa I adalah pada 15 April, diikuti Fasa II (29 April) dan Fasa III (13 Mei) manakala tarikh akhir menabur kering bagi Fasa I ditetapkan pada 15 Mei, Fasa II (29 Mei) dan Fasa III (12 Jun).

“Purata turunan hujan di Kawasan Muda hanya merekodkan 56 milimiter (mm), jauh lebih rendah berbanding purata 20 tahun iaitu 225mm yang menunjukkan penurunan sebanyak 75 peratus. Jadi, kaedah ini dilihat strategi terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air yang terhad.

“Ini juga bagi memastikan jadual penanaman dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air pengairan pada peringkat awal tanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat MADA Ampang Jajar.

Walaupun kos bagi kaedah ini agak tinggi sedikit termasuk perlu menambah beg benih namun ia perlu dilaksanakan.

Penggunaan kaedah tabur terus kering dilihat sebagai strategi terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air yang terhad serta memastikan jadual penanaman dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air pengairan pada peringkat awal tanaman.

Walau bagaimanapun, kaedah itu memerlukan pemantauan rapi khususnya terhadap kawalan pertumbuhan rumpai.

Kaedah itu pernah dicadangkan pada musim 1/2017 dan 1/2020 dilaksanakan tetapi tidak diteruskan berikutan cuaca kembali lembap selepas hujan turun dan paras takungan empangan bertambah baik.

Sehubungan itu, pihak MADA akan mempergiat kempen dan aktiviti pengembangan di lapangan bagi memberi pendedahan kepada pesawah berkaitan pelaksanaan kaedah tabur terus kering termasuk aspek penyediaan tanah, kawalan rumpai dan amalan agronomi yang bersesuaian.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 29 Mac 2026 dan berterusan sehingga Mei 2026 dengan tiupan angin lemah dari pelbagai arah.