
KUALA LUMPUR, 25 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempertingkatkan pemeriksaan keselamatan kebakaran di premis penginapan seperti hotel, inap desa dan chalet menerusi inisiatif Siap Siaga Raya bagi Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.
- Pemantauan keselamatan kebakaran diperketatkan di hotel, inap desa dan chalet sempena musim perayaan.
- Penguatkuasaan berterusan walaupun kadar ketidakpatuhan menurun kepada kira-kira 14 peratus.
- Pasukan diletakkan di lokasi strategik untuk tindak balas kurang dari setengah jam semasa kesesakan.
- Rondaan di lokasi perkelahan air dipertingkatkan susulan kenaikan kes lemas; nasihat dan larangan dikeluarkan jika perlu.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata inisiatif itu diambil memandangkan trend semasa masyarakat yang cenderung menyewa tempat penginapan ketika pulang ke kampung.
Beliau berkata berdasarkan analisis jabatan dalam tiga tahun kebelakangan ini, kadar ketidakpatuhan premis itu terhadap undang-undang keselamatan kebakaran menunjukkan trend penurunan daripada 17 peratus kepada kira-kira 14 peratus.
”Ini menunjukkan peningkatan kepatuhan tetapi kita tidak boleh selesa dalam situasi ini dan akan terus menjalankan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita pada Program Sahur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh di sini hari ini.
Nor Hisham berkata selain pemantauan premis, JBPM turut mengatur persediaan bagi memastikan tindak balas segera terhadap sebarang insiden, khususnya kemalangan di kawasan dijangka mengalami kesesakan sepanjang musim perayaan.
”Pasukan kita akan berada di lokasi strategik untuk membolehkan tindak balas kurang daripada setengah jam ke lokasi yang dijangka berlaku kesesakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata JBPM akan mempertingkatkan rondaan di lokasi perkelahan air di seluruh negara susulan peningkatan kes mati lemas pada sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
“Kita sedikit ralat kerana walaupun telah diletakkan tanda amaran tetapi rekod mati lemas meningkat daripada tahun sebelum ini. Kita akan tingkatkan rondaan, beri nasihat dan larangan kepada orang ramai jika keadaan air tidak mengizinkan,” katanya.
Menyentuh mengenai pengurusan penugasan anggota, beliau berkata pembekuan cuti sempena sambutan Aidilfitri melibatkan 80 peratus daripada keseluruhan pasukan bagi menjamin kesiapsiagaan operasi.- BERNAMA