fb fb fb fb fb

Zii Jia kemuka rayuan kepada BAM

FOTO INSTAGRAM LEE ZII JIA



KUALA LUMPUR, 24 Januari - Demi menyelamatkan karier, pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia telah membuat rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkara itu disahkan BAM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Badan induk itu sebelum ini memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari 2022.

Ia dilihat bakal menjejaskan rankingnya dan menyukarkan persiapan ke Olimpik Paris 2024.

Tindakan itu dibuat selepas pemain ranking ketujuh dunia tersebut membuat keputusan meninggalkan BAM menerusi surat yang dihantar pada 11 Januari lalu.

Jelas BAM dalam kenyataan tersebut, pihaknya tidak sekali-kali akan menyusahkan pemain dan hanya mengikut proses dan prosedur sedia ada.

"Kami sedar mengenai kemarahan dan kekecewaan yang dinyatakan terhadap persatuan. Keadaan ini amat mencabar dan mendapat perhatian semua pihak, daripada ahli politik sehinggalah pemain antarabangsa.

"Kami menghargai semua komen, kritikan dan maklum balas yang ditujukan kepada kami. Kami akan mengambil perhatian tentang sentimen yang diluahkan oleh rakyat Malaysia.

"Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab, kami mempunyai proses dan prosedur yang mesti dipatuhi. Tindakan Majlis BAM adalah berdasarkan prosedur rasmi berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada mereka.

"Bagaimanapun, penting untuk dijelaskan bahawa keputusan ini bukanlah tidak boleh dirayu. Dalam sejarah institusi kami, semua pemain mempunyai hak untuk merayu berhubung keputusan dibuat oleh majlis dan BAM akan menelitinya secara menyeluruh.

"BAM berada di sini untuk melindungi bukan saja sukan itu sendiri tetapi pemain, nilai dan standard terbaik bagi mewakili negara kita yang tercinta," katanya.

Media Baharu