FOTO FACEBOOK FAIZAL AZUMU
KUALA LUMPUR, 24 Januari - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengadakan pertemuan empat mata bersama Lee Zii Jia siang tadi.
Menerusi hantaran di laman media sosialnya, Datuk Seri Ahmad Faizal memberi gambaran positif hasil daripada pertemuan tersebut.
"Saya berpeluang untuk bertemu dengan Lee Zii Jia pada hari ini dan mendengar sendiri pandangan beliau, apa yang pasti semangat serta komitmen Zii Jia terhadap sukan badminton negara masih teguh.
"Semoga segala masalah terungkai agar Tahun Baharu Cina dapat disambut meriah," katanya menerusi Facebook.
Turut hadir dalam perjumpaan itu, pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang turut dikenakan tindakan sama.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini mengesahkan telah menerima rayuan Zii Jia.
Badan induk itu sebelum ini memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari 2022.
Ia dilihat bakal menjejaskan rankingnya dan menyukarkan persiapan ke Olimpik Paris 2024.
Tindakan itu dibuat selepas pemain ranking ketujuh dunia tersebut membuat keputusan meninggalkan BAM menerusi surat yang dihantar pada 11 Januari lalu.