KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal dalam usahanya merangkul gelaran sulung Terbuka Denmark selepas tewas kepada pemain China, Shi Yuqi, di pentas final di Odense.
Permulaan yang goyah buat Zii Jia, pilihan keempat kejohanan mensia-siakan kelebihan mendahului 9-5 pada set pertama sebelum lawan bukan pilihan itu menemui rentak untuk mengejar mata demi mata sebelum menang 21-18 dalam kejohanan di Arena Jyske Bank.
Bagaimanapun, Zii Jia selaku pemain nombor tiga dunia bangkit semula pada set kedua dengan mendahului 7-1 dan terus menguasai perlawanan sebelum menang 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set penentuan, Yuqi, 26, gagal disekat apabila mendahului 11-5 akibat kesilapan menyebabkan Zii Jia, 24, gagal merapatkan kedudukan sebelum akur dengan kekalahan 21-12 di set penentuan.
Dalam pada itu, Yuqi menamatkan kemarau gelaran selama tiga tahun apabila kali terakhir memenangi Terbuka Switzerland pada 2019.
Selepas perlawanan, Zii Jia dengan tenang menerima keputusan tersebut dan berazam untuk kembali semula dengan lebih mantap pada Terbuka Perancis 2022 di Paris bermula Selasa ini.
“Sekurang-kurangnya saya telah mencuba yang terbaik di sini dan akur dengan keputusan ini. Saya akan mengharungi dua lagi kejohanan selepas ini dan harap dapat mengekalkan prestasi semasa,” katanya.
Sementara itu, di Indonesia, pemain negara, Leong Jun Hao memenangi gelaran sulung dunia selepas mengecewakan rakan senegara, Cheam June Wei pada aksi final Indonesia Masters di Malang.
Jun Hao terpaksa berhempas pulas selama 67 minit sebelum mengecewakan June Wei, 9-21, 22-20, 21-19 pada acara Super 100 tersebut.-BERNAMA