fb fb fb fb fb

Zhao Xintong cipta sejarah, juara dunia snuker pertama dari China

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 6 Mei - Zhao Xintong mencipta sejarah menjadi pemain China pertama menjuarai Kejohanan Snuker Dunia selepas menewaskan Mark Williams dari Wales 18-12 di Crucible Theatre pada isnin.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang pernah digantung 20 bulan akibat skandal mengatur perlawanan pada 2023, muncul juara selepas melalui empat pusingan kelayakan sebagai pemain amatur.

Zhao membawa kelebihan 11-6 ke sesi ketiga semalam dan pantas menjarakkan kedudukan 17-8 sebelum Williams bangkit merapatkan jurang dengan empat frame berturut-turut, namun Zhao memastikan kemenangan di frame kelima sesi malam.

Williams, 50 tahun mencatat sejarah sebagai pemain tertua mara ke final selepas menewaskan Judd Trump di separuh akhir.

Manakala Zhao sebelum ini menyingkirkan juara tujuh kali Ronnie O’Sullivan.

Dengan kejayaan itu, Zhao menyertai Terry Griffiths dan Shaun Murphy sebagai satu-satunya pemain kelayakan yang memenangi trofi berprestij itu.

Sekali gus membawa pulang hadiah £500,000 (kira-kira RM3.1 juta). - REUTERS

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD