fb fb fb fb fb

Tengku Zafrul calon tunggal Presiden BAM, pencalonan masih dibuka

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz masih lagi menjadi calon tunggal bagi jawatan presiden pada pemilihan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) penggal 2025-2029.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata setakat ini tiada pencalonan lain, namun perlembagaan badan induk berkenaan menetapkan tempoh pencalonan presiden dan jawatan lain masih dibuka sehingga hari pemilihan selain sesiapa sahaja layak untuk dicalonkan.

“Buat masa ini calon nama (presiden) hanya Tengku Zafrul. Ikutkan tiada pertambahan pencalonan (bagi presiden) dan buat masa ini tiada yang kita dengar untuk pencalonan (bagi calon naib presiden dan timbalan presiden),” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Pada Mac lepas, Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.

Subramaniam berkata pencalonan itu mencerminkan keperluan kepimpinan yang kukuh dan stabil bagi memacu persatuan berkenaan ke hadapan.

Pada awal tahun lepas, Tengku Zafrul hampir dilantik menjadi presiden BAM bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang pada mulanya bercadang untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza mempertimbangkan semula keputusan itu dan kekal memegang jawatan berkenaan sehingga Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Selepas temasya itu berakhir, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM pada Mei ini.

Januari lepas, Datuk Seri Khairudin Abd Samad turut menawarkan diri untuk mengisi kekosongan kerusi panas berkenaan berdasarkan pengalamannya sebagai naib presiden BAM sejak 2017 dan Presiden Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) selama 15 tahun.

Pemilihan BAM dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini semasa AGM dijalankan.

Dalam perkembangan lain, Kenny berkata BAM akan memberikan masa kepada beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk mengharungi beberapa kejohanan terdekat sebelum memutuskan sama ada mahu melanjutkan kontrak bersama badan induk itu.

“Kontrak Pearly-Thinaah, kita lihat dalam seminggu dua ini. Sebab mereka ada kejohanan akan datang, jadi kita beri masa dekat mereka,” katanya. - Bernama

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello