fb fb fb fb fb

Yu Qi singkir Axelsen untuk berdepan Antonsen di Final Terbuka Malaysia 2024

Pemain perseorangan dari Denmark Viktor Axelsen bersalaman bersama pemain dari China Shi Yu Qi selepas perlawanan pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Januari - Wakil China, Shi Yu Qi mempamerkan aksi cemerlang untuk menamatkan penguasaan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2024 hari ini.

Ketika tumpuan diberikan kepada Axelsen untuk meraih kejuaraan ketiga berturut-turut selepas melakukannya pada 2022 dan 2023, Yu Qi muncul pemusnah apabila menundukkan pemain Denmark itu 21-12, 19-21, 21-17 selepas pertarungan sengit 70 minit.

Ia merupakan kemenangan ketiga pemain berusia 27 tahun itu ke atas Axelsen dalam 12 pertemuan mereka.

Edisi kali ini bakal menyaksikan juara baharu membabitkan Yu Qi dengan seorang lagi wakil Denmark, Anders Antonsen dalam aksi final, esok.

Ketika ditemui pemberita, Yu Qi berkata pada perlawanan hari ini, beliau memiliki kelebihan dari segi psikologi kerana tidak mempunyai tekanan berbanding Axelsen yang merupakan pilihan utama.

“Axelsen merupakan pemain terbaik, jadi tekanan tentunya pada beliau. Dari segi fizikal, memang beliau mempunyai kelebihan dari segi ketinggian.

“Saya mahu menang setiap perlawanan, bukan hanya menyasarkan kepada Super 1000 semata-mata. Bagus untuk mara ke final, ia cabaran buat saya,” katanya.

Sementara itu, Axelsen berkata walaupun tidak berada pada keadaan terbaik minggu ini, namun beliau tetap memberikan yang terbaik dalam usaha memburu gelaran Terbuka Malaysia ketiganya.

“Walaupun saya mahu menang, tapi Yu Qi lebih berhak kerana beliau pemain yang lebih baik. Apa yang kita harapkan kepada pemain adalah untuk melakukan yang terbaik pada hari perlawanan, dan saya dah lakukan semampunya.

“Saya tidak gembira dengan keputusan hari ini kerana saya menang pelbagai kejohanan Super 1000. Jika bukan sebab kamu adalah pemain terbaik, kamu tidak menang dan hari ini saya bukan pemain terbaik. Saya sepatutnya perlukan rehat yang lebih selepas muncul juara Jelajah Dunia Akhir baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, Antonsen mengetepikan pemain Taiwan Lin Chun Yi 21-16, 21-7 untuk layak ke aksi final kejohanan Super 1000 itu.

“Ini merupakan persembahan terbaik saya sejak sekian lama...kali pertama berdepan Chun Yi, beliau merupakan pemain berbahaya, mempunya pukulan smash dan kualiti yang hebat dalam permainan. Saya puas hati dengan kemenangan hari ini.

“Melangkah ke final Super 1000 memberi makna hebat buat saya kerana saya bekerja keras untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Tidak kira dengan siapa saya bakal berdepan (Axelsen atau Yu Qi), saya akan masuk gelanggang dan berikan yang terbaik tanpa tekanan langsung,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, Yu Qi pernah menewaskan Antonsen empat kali daripada enam pertemuan dengan pemain Denmark itu. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN