KANGAR, 14 Julai - Pasukan dari Sekolah Kebangsaan Abi, Bintong muncul juara Pertandingan Senam Sihat Kelab Doktor Muda peringkat Negeri Perlis, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM600 dan sijil penyertaan.
Violet Dance Crew berjaya mengetepikan cabaran sengit daripada 17 lagi pasukan yang bertanding.
Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Abi, Nordin Abdullah, pertandingan ini dilaksanakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan murid-murid.
"Pertandingan melibatkan persembahan senaman sihat atau senaman berirama kreatif dan bersemangat oleh ahli Kelab Doktor Muda.
"Ia menjadi platform untuk memupuk kerjasama, keyakinan diri dan semangat kesukanan di kalangan murid-murid.
"Program berlangsung di Dewan Seri Melati Beseri ini menggabungkan pasukan mewakili sekolah rendah dan sekolah menengah di Perlis." kata Nordin Abdullah.
Beliau memaklumkannya pada Majlis Penghargaan kepada 10 pelajar atas Kejayaan Pasukan Violet Dance Crew di Sekolah Kebangsaan Abi.
Naib Johan diungguli pasukan Glow Ladies dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan tempat ketiga oleh pasukan Rajastyle Dance Crew mewakili Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi.