CHARLOTTE, 15 Mei - Pemain Venezuela, Jhonattan Vegas mencuri tumpuan pada pusingan pertama Kejohanan PGA apabila mencatat 7 bawah par 64 hasil lima birdie daripada enam lubang terakhir.
Pemain berusia 40 tahun itu, kini mendahului dua pukulan di Quail Hollow, berpeluang menambah kejuaraan selepas kemenangan 3M Open tahun lalu.
“Ia satu perasaan luar biasa. Inilah yang kami impikan dan latih setiap hari,” katanya.
Pemain Australia Cam Davis dan wakil tuan rumah, Ryan Gerard, masing-masing mencatat 66, manakala lima pemain termasuk Luke Donald, Ryan Fox dan Alex Smalley berkongsi tempat ketiga dengan 67.
Kelompok utama pusingan pertama, Scottie Scheffler, Xander Schauffele dan Rory McIlroy kelihatan bergelut apabila masing-masing mencatat 69, 72 dan 74.
Ketiga-tiga mereka membuat double bogey di lubang ke-16 selepas pukulan dari fairway masuk ke dalam air, dengan Scheffler menyifatkan keadaan bola berlumpur menyukarkan permainan.
Davis mencatat tujuh birdie dan dua bogey, manakala Gerard, yang membuat penampilan pertama di kejohanan ini, bermula garang dengan empat birdie di sembilan lubang belakang dan eagle dari jarak 60 kaki, namun menutup pusingan dengan dua bogey berturut-turut.
Kapten Piala Ryder Eropah, Luke Donald, satu-satunya pemain tanpa bogey pada hari pertama, mengekalkan harapan untuk menjadi pemain England pertama memenangi kejohanan ini sejak 1919.
“Saya tak jangka banyak, tapi putter saya benar-benar membantu,” ujarnya.
Bintang Amerika, Jordan Spieth, yang memburu kemenangan untuk melengkapkan gelaran Grand Slam, menamatkan pusingan dengan 76, 10 pukulan di belakang pendahulu.