fb fb fb fb fb

TSG catat penajaan terbesar sejak ditubuhkan

(TSG catat penajaan terbesar sejak ditubuhkan)

KUALA TERENGGANU, 13 Januari- Gergasi sukan berbasikal Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) membuka lembaran musim 2023 ini dengan mencipta penanda aras baharu untuk menerima jumlah penajaan terbesar dalam sejarah penubuhan sejak 2011.

Sebanyak RM11,039,088.00 jumlah tajaan berjaya dikumpul, sekali gus bakal menjadi momentum terbaik untuk sekali lagi mempertahankan kejuaraan yang telah dilakar pada musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus pasukan TSG kini menjadi satu jenama antarabangsa yang mampu untuk meyakinkan barisan-barisan penaja musim ini sama ada dalam negeri mahupun antarabangsa.

Tajaan musim ini juga turut mendapat kepercayaan beberapa entiti perniagaan dari Jepun, Taiwan, Indonesia dan Singapura untuk turut sama mewarnai kalendar perlumbaan berbasikal dunia UCI musim 2023 ini.

Malah TSG juga turut telah memainkan peranan untuk membuka peluang jalinan kerjasama pelaburan di antara Terengganu dan negara Turkiye setelah beraksi selama dua musim di sana dalam siri Jelajah Eropah.

"Kita sekarang ini mengikut perubahan semasalah..kita tengok kita dah mempunyai dari segi kekuatan kewangan yang agak stabil dan kita cuba untuk mendapatkan perlumbaan yang menawarkan point yang lebih banyak iaitu yang bertaraf 2.1 dan Pro Series," kata Nasiruddin.


(Menteri Besar Terengganu,
Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar)

"Saya percaya itu merupakan satu pengiktirafan bila pencapaian baik maka tentulah ramai penaja-penaja dalam negeri dan peringkat antarabangsa yang ingin menaja," kata Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Untuk rekod, TSG yang menutup musim lalu penuh bergaya selaku Juara Asia Jelajah Asia UCI setelah meraih 118 podium untuk berada di tangga kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional seluruh dunia yang bertanding.

Pencapaian ini sekali gus juga untuk meletakkan TSG sebagai pasukan di kedudukan ke-3 pasukan Benua Dunia (UCI Continental Team) daripada 178 pasukan.

Media Baharu