fb fb fb fb fb

Tomasso Allan enggan sertai skuad kebangsaan, mahu bersama keluarga

Pemain ragbi Itali, Tommaso Allan

PARIS, 3 September- Pemain ragbi Itali, Tommaso Allan, pada Rabu memaklumkan beliau kekal dengan keputusan untuk  tidak menyertai skuad kebangsaan kerana alasan keluarga.

Allan, yang merupakan pemegang rekod mata terbanyak Azzurri dan bermain untuk kelab Perpignan di Perancis, mengumumkan pada bulan Februari bahawa beliau akan menghentikan sementara karier antarabangsa untuk memberi keutamaan kepada masa bersama keluarganya.

Itali akan menentang Argentina, Georgia, dan New Zealand pada bulan November dalam perlawanan seterusnya, selepas memenangi dua perlawanan dan seri dalam satu lagi perlawanan dalam aksi Six Nations awal tahun ini.

Pada bulan Julai, mereka menumpaskan Jepun dan Tonga selepas kekalahan kepada Samoa, menandakan permulaan yang menjanjikan untuk bekas fly-half Argentina, Gonzalo Quesada, sebagai ketua jurulatih.

"Buat masa ini, saya akan fokus pada permulaan musim dengan Perpignan, lihat bagaimana keadaan dan kemudian kita akan lihat," kata pemain berusia 31 tahun itu, yang boleh bermain sebagai fly-half dan full-back.

"Saya memerhati Itali dengan dekat pada penghujung Six Nations dan jelajah musim panas.

"Anda sentiasa ingin bermain di peringkat antarabangsa tetapi buat masa ini saya hanya akan fokus pada permulaan musim dengan Perpignan," tambahnya.

Perpignan akan memulakan musim French Top 14 mereka di Bayonne pada hari Sabtu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE