fb fb fb fb fb

TNB MHL 2022 terima 13 penyertaan musim ini

FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 4 Febuari- Penganjur kejohanan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 mengesahkan telah menerima penyertaan daripada 13 pasukan pada musim ini.

Daripada jumlah tersebut, tujuh melibatkan pasukan Lelaki dan enam wanita yang bakal memulakan aksi pada 18 Februari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh, Kejohanan TNB MHL 2022 kembali menggunakan format asal; dijalankan secara timbal balik di sekitar Semenanjung Malaysia.

"Seperti musim-musim sebelum ini, empat pasukan teratas liga akan mara ke pusingan separuh akhir untuk merebut Kejuaraan Piala TNB bagi kategori lelaki sementara wanita akan mencabar Kejuaraan Piala Vivian May Soar.

"Untuk musim ini, kategori wanita bakal menampilkan tiga pasukan baharu iaitu Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan National Development Team yang merupakan Skuad Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)," jelasnya dalam satu sidang media.

Beliau turut berkongsi mengenai perancangan awal jawatankuasanya untuk menamatkan saingan TNB MHL 2022 pada bulan Jun telah diawalkan.

“Selepas meneliti setiap aspek bagi penganjuran kejohanan, liga akan berakhir pada penghujung Mac 2022 dan keputusan ini dibuat kerana kami tidak mahu berlakunya percanggahan kejohanan dengan kalendar Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

“Keputusan ini juga dibuat kerana kami percaya Ketua Jurulatih Kebangsaan memerlukan masa untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan dan menjalani latihan menjelang kejohanan yang akan datang.

“Kejohanan yang berlangsung akan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia termasuk menggunakan garis panduan daripada FIH.

“Setiap pemain dan pegawai yang terlibat dalam kejohanan ini diwajibkan untuk melengkapkan suntikan vaksin (2 dos) dan ini merupakan ketetapan yang sama seperti kejohanan sebelum-sebelum ini.

“Cuma untuk Kejohanan TNB MHL 2022, kami menggalakkan pemain-pemain serta pegawai yang terlibat untuk mendapatkan suntikan dos penggalak. Kami tidak meletakkan syarat wajib penyertaan mereka perlu mendapatkan dos penggalak namun jika mereka mendapatkan suntikan tersebut adalah lebih baik bagi meningkatkan lagi keyakinan semua yang terlibat,” kata Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh.

Jawatankuasa Pertandingan KHM sebelum ini telah menggenal pasti lima venue yang akan digunakan sepanjang kejohanan berlangsung, namun ia juga tertakluk kepada kelulusan untuk kejohanan dijalankan seperti kesesuaian permukaan padang serta keadaan lampu limpah di venue tersebut.

Lima venue tersebut ialah Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, Terengganu, Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, Stadium Hoki Seremban 2 dan Stadium Hoki Majlis Perbandaran Klang.

Media Baharu