(Aksi pemain pertahanan Kelantan FC, Abdul Latiff Suhaimi ketika menentang pasukan
Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia pada
Sabtu lalu/ Foto TRW Kelantan FC)
KOTA BHARU, 9 November - Di atas kertas, segalanya mungkin sudah mustahil buat Kelantan FC untuk layak ke pusingan seterusnya selepas aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pada Jumaat ini namun demi maruah dan reputasi, 'The Red Warriors' akan tetap cuba memberi tentangan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.
Pemain pertahanan, Abdul Latiff Suhaimi, mengakui kekalahan 0-3 pada aksi pertama di laman sendiri sudah pasti mengecewakan, namun hakikatnya JDT memang berada dalam kelas tersendiri.
Tambahnya, pemain Kelantan telah memberi segala yang termampu demi penyokong setia mereka dan semangat itu tidak akan berubah apabila berkunjung ke JDT bagi aksi kedua Jumaat ini.
(Foto TRW Kelantan FC)
Meskipun kelebihan berpihak kepada JDT, Abdul Latiff menjelaskan beliau dan rakan sepasukan tidak akan berputus asa kerana percaya peluang mereka masih ada.
Ujarnya lagi, seandainya malam itu bukan milik Kelantan, dia percaya semua pemain The Red Warriors tetap mahu merobek gawang skuad Harimau Selatan di hadapan penyokong mereka sendiri.
Dalam perlawanan suku akhir pertama pada Sabtu lalu, JDT membawa bekalan selesa melalui gol Bergson da Silva, Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez.