fb fb fb fb fb

TFC tawar Nafuzi lanjutan kontrak setahun

(FOTO FAIL)

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Setelah sekian lama menjadi polemik di kalangan peminat, hari ini akhirnya terjawab apabila Terengganu FC (TFC) menawarkan lanjutan kontrak setahun kepada Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad Penyu.

Ia diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC yang dipengerusikan oleh Exco Sukan Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Beliau menjelaskan kepada media bahawa keputusan itu berdasarkan pencapaian ketua jurulatih itu setelah layak ke Piala AFC 2023 dan mara ke pusingan akhir Piala FA yang lalu.

"Ya..kita ada beberapa pilihan yang telah pun diberikan kepada kita dalam mesyuarat dan kita memilih Nafuzi lah dan pilihan yang lain itu kita tolak lah, sekiranya Nafuzi tidak menerima maka kita terpaksa melihat pilihan yang lain lah," kata beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd di sini, hari ini.


(Foto fail)

Wan Sukairi memaklumkan bahawa surat tawaran itu akan diserahkan secepat mungkin kepada ketua jurulatih yang berusia 44 tahun itu dan Nafuzi perlu memberikan jawapan balas dalam tempoh 14 hari untuk menerima tawaran atau sebaliknya.

Nafuzi, 44 tahun, memulakan karier bersama skuad Penyu pada tahun 2018 sebagai penolong jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih interim skuad Penyu pada 2019 selepas Irfan Bakti meletak jawatan secara mengejut susulan prestasi buruk pasukan.

Khidmat beliau terus disambung sehingga tahun 2022 dengan pencapaian cemerlang iaitu menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, naib juara Piala FA dan layak ke Piala AFC musim depan.

Media Baharu