fb fb fb fb fb

Tewas mengejut,jurulatih Serbia letak jawatan

Jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic/FOTO REUTERS

BELGRADE, 12 Oktober - Jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic, mengumumkan peletakan jawatan selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Albania dalam aksi kelayakan Piala Dunia di laman sendiri.

“Kekalahan ini tidak sepatutnya berlaku, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya. Saya di sini untuk menghadapi akibatnya,” kata Stojkovic pada sidang media selepas perlawanan yang berlangsung di bandar selatan Leskovac.

“Saya telah berbincang dengan presiden dan setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Serbia.

“Saya sudah mengemukakan perletakan jawatan, mereka akan mengeluarkan kenyataan rasmi juga, tetapi saya tidak akan ke Andorra dan mengetuai pasukan,” katanya seperti dipetik penyiar nasional RTS.

Beliau merujuk kepada perlawanan kelayakan Piala Dunia seterusnya menentang Andorra pada Selasa ini.

Keputusan Sabtu lalu itu disifatkan “amat mengecewakan dan di luar jangkaan,” kata jurulatih berusia 60 tahun itu sambil mengakui dirinya merupakan punca kekalahan tersebut.

“Saya juga sudah bercakap dengan para pemain dan menjelaskan segalanya kepada mereka.

"Tidak menjadi tragedi apabila seorang jurulatih berundur, dan Serbia akan sentiasa mempunyai penyokong tegar dalam diri saya. Saya telah mengetuai negara saya lebih daripada 50 kali", katanya.

Bekas pemain tengah yang digelar ‘Piksi’ itu dilantik sebagai jurulatih Serbia pada tahun 2021.

Sebagai pemain, beliau telah membuat 84 penampilan untuk bekas Yugoslavia antara 1983 hingga 2001, dan merupakan antara pemain Eropah pertama yang beraksi dalam liga bola sepak Jepun.

Stojkovic pernah bersama kelab Nagoya Grampus Eight dari Liga-J Jepun antara 1994 hingga 2001.

Selepas bersara, beliau sempat menjadi pengerusi Red Star Belgrade sebelum memulakan kerjaya kejurulatihan bersama Nagoya, dan kemudiannya kelab China, Guangzhou.

Serbia kini berada di tangga ketiga Kumpulan K, dengan England mendahului carta dan Albania di tempat kedua.

Sementara itu, media tempatan Serbia melaporkan bahawa Stojkovic mungkin digantikan oleh bekas pemain dan pengurus bola sepak, Veljko Paunovic.

Perlawanan Sabtu lalu turut dipindahkan dari ibu negara Belgrade ke Leskovac atas permintaan Serbia kepada UEFA berikutan faktor keselamatan. -AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD