fb fb fb fb fb

MLS: Messi ledak dua gol, Inter Miami benam Atlanta 4-0

Lionel Messi meraikan jaringan keempat bersama rakan sepasukan./AFP

MIAMI, 12 Oktober – Lionel Messi meledak dua gol untuk membantu Inter Miami menumpaskan Atlanta United 4-0, sekali gus merampas tangga teratas senarai penjaring Major League Soccer (MLS).

Bintang Argentina itu menjaringkan gol ke-25 dan ke-26 musim ini, mengatasi Denis Bouanga dari Los Angeles FC dalam perebutan Kasut Emas.

Kedua-duanya sebelum ini terikat dengan 24 gol.

Miami yang sudah pun mengesahkan tempat ke saingan play-off liga utama Amerika itu, kini berkongsi 62 mata dengan Cincinnati di persidangan Timur, empat mata di belakang pendahulu, Philadelphia yang muncul juara musim biasa.

Messi membuka jaringan pada minit ke-39 menerusi rembatan melengkung kaki kiri dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Atlanta, Jayden Hibbert.

Gol kedua Miami hadir pada minit ke-52 menerusi Jordi Alba selepas menerima hantaran Messi, sebelum pemain Sepanyol itu melepaskan sepakan chip melepasi Hibbert.

Luis Suarez menambah gol ketiga pada minit ke-61 sebelum Messi melengkapkan kemenangan besar dengan jaringan keduanya pada minit ke-87.

Perlawanan ini berlangsung ketika jendela perlawanan antarabangsa, dan status Messi hanya disahkan sebelum sepak mula.

Beliau sebelum ini menyertai latihan bersama skuad Argentina di Florida namun tidak diturunkan ketika perlawanan persahabatan menentang Venezuela pada Jumaat. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI