fb fb fb fb fb

Tewas kepada Fulham, Arteta kecewa dengan persembahan Arsenal

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta/FOTO REUTERS

LONDON, 1 Januari- Pengurus Arsenal, Mikel Arteta meluahkan kekecewaannya berikutan persembahan buruk anak-anak buahnya ketika tewas 2-1 kepada Fulham.

Kekalahan itu sekali gus merencatkan usaha 'The Gunners' bagi menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Anak-anak didik Arteta ketika ini hanya memenangi satu daripada lima perlawanan liga dan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool yang mempunyai baki satu perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Craven Cottage pada Ahad, Arsenal mendahului pada minit ke-5 menerusi Bukayo Saka sebelum kebangkitan menarik oleh pasukan tuan rumah Fulham menerusi jaringan Raul Jiminez pada minit ke-29 sebelum mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Boby De Cordova-Reid pada babak kedua minit ke-59.

Meskipun, masih bersikap positif terhadap kekalahan sebelum ini, pengendali dari Sepanyol itu dilihat tidak bertoleransi dengan para pemainnya dengan kekalahan terbaharu tersebut.

"Kami tidak cukup bagus," kata Arteta.

“Tempoh hari, kami tewas dalam perlawanan (menentang West Ham), di mana kami berhak sepenuhnya untuk menang. Hari ini kami tidak berada di tahap yang hampir sama.

"Ia adalah prestasi terburuk musim ini", kata Arteta.

Ketumpulan jentera serangan dikenal pasti sebagai kelemahan utama dalam skuad Arteta yang mungkin menghalang mereka daripada memenangi kejuaraan liga pertama dalam tempoh 20 tahun.

Arteta menolak cadangan bahawa dia perlu mengukuhkan lagi skuadnya pada jendela perpindahan Januari.

Bagaimanapun, dia memberi amaran kepada pemainnya bahawa sebarang persembahan seperti ketika berdepan Fulham akan menggagalkan usaha pasukan itu untuk menewaskan Manchester City untuk menjadi juara Liga Perdana Inggeris muim ini.

"Jika kami bermain seperti musim lalu, kami akan berhasil menjadi juara.

"Jika tidak kami tidak akan ke mana", jelas Arteta.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD