fb fb fb fb fb

Terengganu tewas bukan sebab konflik dalaman - Nafuzi

PETALING JAYA, 17 November - Ketua Jurulatih Terengganu FC Mohd Nafuzi Mohd Zain tidak menganggap kekalahan pasukannya di tangan Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia disebabkan konflik dalaman pasukan antara beliau dengan pihak pengurusan.

Pengendali berusia 44 tahun itu berkata biarpun Terengganu tewas 1-3 menentang Selangor semalam, persembahan pasukan bimbingannya tiada beza jika dilihat dari segi komitmen yang diberikan pemain berbanding sebelum konflik itu berlaku.

"Kita tewas sebab kita bolos tiga gol menerusi set ‘pieces’ dan kita hanya jaringkan satu gol, itu saja. Kita kena tahu kualiti yang ada pada Selangor dan mereka gunakan sepenuhnya peluang yang ada atas kelemahan kita.

"Perbezaannya hanya kalah 3-1...persembahan sama saja...dari segi peluang tengok berapa banyak kita cipta. Bagi saya semua pemain berikan yang terbaik dan kita bermain corak permainan normal pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini.

(FACEBOOK Terengganu FC)

Pada pertembungan itu, Terengganu yang memiliki satu kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada 2001 mengejutkan skuad Gergasi Merah selepas meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma ketua pasukan Tchetche Kipre pada minit ke-19.

Namun, Selangor bangkit menjaringkan tiga gol berpunca daripada sepakan sudut diambil Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yang disudahkan masing-masing oleh Richmond Tetteh Ankrah pada minit ke-37, Herlison Caion De Souza Ferreira (minit ke-43) dan Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-54.

Kekalahan itu menamatkan rentetan sembilan kemenangan berturut-turut skuad Penyu dalam kesemua pertandingan sejak kali terakhir tewas di pentas final Piala FA kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 10 Sept lepas.

"Kalau dari segi persembahan ditunjukkan pemain, saya percaya kita akan ke final sebab dalam bola sepak macam-macam boleh terjadi, yang penting kita yakin dan berusaha...kita masih ada 90 minit lagi di Terengganu,” kata Mohd Nafuzi.

Aksi timbal balik Terengganu menentang Selangor dijadual berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin depan.

Sebagai rekod, konflik yang berlaku antara Mohd Nafuzi dengan pihak pengurusan Terengganu telah menemui titik noktah dua hari lepas apabila pasukan itu mengesahkan Mohd Nafuzi tidak lagi akan bersama skuad Penyu bagi saingan Liga Malaysia musim depan. - BERNAMA

Media Baharu